Saturday, November 9, 2013

Timbalan Presiden PAS - Sah Mohd Amar Cabar Mat Sabu

Pertembungan antara penyandang timbalan presiden Mohd Sabu dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Selepas penerimaan pencalonan ditutup petang semalam, sah akan berlaku pertembungan satu lawan satu antara penyandang timbalan presiden Mohd Sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ini ekoran pengumuman di saat-saat akhir penerimaan pencalonan oleh Mohd Amar dan penolakan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa (kanan) daripada bertanding timbalan presiden.

Mohd Amar  mengesahkan mencabar Mohamad dalam SMS kepada Malaysiakini hari ini. Manakala Husam pula mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang. 

Menurut Husam, beliau membuat pilihan itu selepas mengambil kira pencalonan terbanyak yang diterimanya untuk mempertahankan jawatan - yang dianggap isi hati akar umbi. "Saya memutuskan menerima pencalonan untuk jawatan naib presiden PAS.

"Borang penerimaan pencalonan berkenaan diserahkan sekejap tadi," katanya melalui kenyataan lewat petang semalam.

Lima orang dicalonkan bertanding jawatan itu, termasuk Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri)dan Naib Presiden Salahuddin Ayub.

Bagaimanapun, Salahuddin menolaknya kelmarin manakala Tuan Ibrahim pula tengah malam tadi.

Pengumuman rasmi dijadual dibuat jawatankuasa pemilihan PAS pagi  ini  melalui suatu sidang media. 

Sebelum ini, pengamat politik PAS menjangkakan Husam akan bertanding jawatan timbalan presiden, menyebabkan pertembungan tiga penjuru dengan Mohamad dan Mohd Amar.

Beliau pada mulakan dikatakan akan membuat keputusan itu setelah Tuan Ibrahim mengumumkan untuk berentap di peringkat naib presiden sahaja.

Husam Isnin lalu dilaporkan hanya akan membuat keputusan untuk bertanding jawatan tertinggi parti selepas Tuan Ibrahim membuat keputusannya.

Pengumuman Mohd Amar juga sekali gus menjawab tanda tanya yang menjadi tumpuan pengamat politik PAS.

Sumber yang rapat dengan Husam tengah hari semalam memaklumkan hampir pasti Husam akan menerima pencalonan sebagai timbalan presiden.

Justeru, pengumuman Husam di saat-saat akhir petang semalam  menandakan beliau menukar fikiran setelah sekali lagi mempertimbangkan peluangnya.

Ia dipercayai mengambil kira beban yang mungkin menghantuinya ekoran kenyataannya yang tidak akan mencabar Mohamad sebelum ini.

No comments:

Post a Comment