Tuesday, November 12, 2013

Dendam Dipercayai Punca Pegawai JAIP Dibunuh?


Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak semalam bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, polis percaya tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

"Bagaimanapun, polis sedang menyisasat dari pelbagai sudut sama ada ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi atau ada ancaman peribadi," katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bukit Ubi di Kuantan, semalam.

Katanya, selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

"Pihak keluarga diminta bertenang dan banyakkan bersabar dengan dugaan ini, polis tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan kita akan buru suspek hingga ke lubang cacing," katanya. 

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kediaman penjawat awam yang bertugas sebagai penguatkuasa ditempatkan dalam sebuah kawasan bagi menjamin keselamatan mereka ekoran tugas mereka sangat berisiko dan terdedah terhadap pelbagai ancaman.

"Kerja sebagai penguatkuasa ini berdepan dengan bahaya, kadang-kadang kita tidak tahu ada musuh dalam selimut jadi untuk keselamatan mereka terjamin elok di tempatkan sebuah kuarters yang mempunyai kawalan keselamatan yang baik," katanya.

Beliau juga dalam pada itu menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut atau menuding jari kepada mana-mana pihak.


No comments:

Post a Comment