Tuesday, November 12, 2013

Jabatan Taman Laut Teliti Sistem 'Close Season' Di Pulau Payar


Kejadian kelunturan terumbu karang menyaksikan taman laut di Terengganu, Pahang dan Johor terpaksa ditutup pada 2010, sekali gus menegaskan kepentingan terumbu karang "berehat".

Berikutan itu, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) bercadang melaksanakan sistem 'close season' di Pulau Payar di Langkawi bagi menjaga keseimbangan ekosistem di taman laut negara itu.

Ketua Pengarahnya Sukarno Wagiman berkata menerusi sistem itu, taman tersebut akan ditutup untuk tempoh tertentu bagi aktiviti rekreasi seperti bersnorkel dan selaman, sekali gus membolehkan terumbu karang "berehat".

"Sejak dibuka pada 2007, pulau ini tidak pernah ditutup dan sentiasa menerima kedatangan pelancong hampir setiap hari," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program JTLM bersama Komuniti Nelayan Kedah dan Labuan, di Pulau Payar.

Sukarno berkata jika dilaksana, tempoh minimum penutupan mungkin sebulan.

"Negeri lain mempunyai musim tengkujuh dan pada musim inilah sistem tertutup akan dibuat tapi berbeza bagi Kedah yang tidak mempunyai musim-musim yang membolehkan sistem tertutup ini dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun perkara ini masih dalam perbincangan selain memerlukan penelitian kerana membabitkan banyak perkara dan banyak pihak, katanya.

Menurut Sukarno kajian nilai ekonomi terhadap Pulau Payar menunjukkan kawasan itu memberi pendapatan RM174 juta setahun kepada Kedah.

"Oleh itu, perancangan perlu dibuat sebelum menutup taman laut ini kerana nilai pulangan ekonomi inilah yang perlu dijaga," katanya.

No comments:

Post a Comment