Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasar untuk membina 10 balai baharu di seluruh negara dalam tempoh dua tahun mulai tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kesemua balai itu akan dibina di lokasi strategik dan mampu menempatkan 30 kekuatan anggota yang dianggar menelan kos berjumlah RM50 juta.
"Di Terengganu, kita membina sebuah balai baharu di Kijal dan pembinaan balai ini dalam proses penilaian tender dan kita jangka ia akan mula dibina pada tahun depan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata kesemua balai itu dibina bagi menampung keperluan semasa dan dapat memberi respons dalam masa yang terpantas kepada orang ramai.
Wan Mohd Nor juga berkata pihaknya akan membina balai di kawasan terpencil dan berisiko bagi memastikan tempoh respons terhadap setiap aduan dapat dipendekkan.
Beliau berkata selain itu, pihaknya akan menaik taraf beberapa balai sedia ada seperti di Besut.
Setakat ini, terdapat sebanyak 265 balai bomba di seluruh negara dengan kekuatan anggota dan pegawai 13,000 orang.
No comments:
Post a Comment