Tuesday, November 12, 2013

TH Terengganu Agih Zakat RM121,000

Sebanyak 242 pelajar dari daerah Marang, kelmarin menerima agihan zakat Tabung Haji (TH) Terengganu berjumlah RM121,000 menerusi Program Iqra'.

Timbalan Pengarah TH Terengganu Azillah Itam berkata setiap pelajar menerima sumbangan RM500 iaitu RM200 berbentuk peralatan persekolahan dan bakinya wang tunai.

"Ini kali kedua program diadakan dan pelajar dipilih oleh Jabatan Pendidikan negeri berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu kategori asnaf miskin dan fakir selain melihat pencapaian akademik pelajar," katanya dalam sidang media pada majlis penyampaian sumbangan itu di Marang.

Azillah berkata menerusi program itu juga TH Terengganu mengagihkan RM1.4 juta kepada 2,958 pelajar di seluruh negeri tahun ini.

Seorang penerima, Nurul Nabilah Mat Adam, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan di sini, berkata dia bersyukur terpilih menerima bantuan itu.

"Alhamdulillah, saya tidak perlu lagi membeli barang kelengkapan sekolah kerana telah menerima sumbangan ini dan duit ini boleh saya gunakan untuk membeli kelengkapan sekolah yang lain dan ia sedikit sebanyak meringankan bebanan bapa saya yang hanya bekerja sebagai seorang penoreh getah," katanya.

Selain Program Iqra', TH turut melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat lain termasuk Projek Ihsan yang menumpukan kepada warga emas, fakir dan ibu tunggal.

No comments:

Post a Comment