Tuesday, November 12, 2013

RM1 Juta Daripada Kerajaan Negeri, Pusat Hadapi Banjir



Peruntukan bernilai hampir RM1 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi membantu persediaan menghadapi gelombang banjir di Terengganu penghujung tahun ini.

Difahamkan, jumlah RM1 juta itu bagaimanapun tidak termasuk bekalan bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan memasak sepanjang bencana tersebut yang juga dijangka mencecah ratusan ribu ringgit. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd. Mahdi Musa berkata, peruntukan itu meningkat berbanding hanya RM630,000 digunakan untuk tujuan sama tahun lepas.


Beliau berkata, pertambahan peruntukan itu disebabkan peningkatan dari segi populasi penduduk yang dijangka mencecah sehingga 10,000 orang serta bagi mengelakkan berlakunya keadaan luar jangka seperti kejadian banjir besar di Kemaman tahun lepas.

"Sebahagian daripada peruntukan ini yang berupa bekalan barangan keperluan harian bagi menghadapi banjir telah diagihkan di semua 118 pangkalan hadapan yang dijangka dibuka pada tahun ini.

"Tahun lepas kita akui persediaan kita kurang cukup sebab tidak menjangka akan berlaku banjir besar. Bagaimanapun, saya yakin, pada tahun ini, segala masalah yang berbangkit akibat banjir dapat diatasi," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau depot stor simpanan barangan sempena banjir di Pulau Kerengga di Marang, semalam.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah 1, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Shaballah Zainal Abidin. Bagi menghadapi gelombang banjir pada tahun ini, Terengganu telah mewujudkan sebanyak 118 pangkalan hadapan dan 437 pusat pemindahan mangsa banjir yang dijangka mampu memuatkan sehingga 63,172 orang.

Ini berbeza berbanding persediaan tahun lepas iaitu hanya memiliki sebanyak 113 pangkalan hadapan serta 397 pusat pemindahan mangsa banjir yang hanya mampu memuatkan sehingga 53,702 orang.

No comments:

Post a Comment