Wednesday, November 6, 2013

Media Dihalang Buat Liputan Di Hospital HSNZ Kuala Terengganu

Sekumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan ketua polis Terengganu melawat mangsa kes curi kenderaan dan kemalangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, dihalang daripada memasuki kawasan wad hospital itu.

Pertengkaran kecil tercetus antara pihak media dan pengawal keselamatan hospital itu apabila media dilarang memasuki dan merakam gambar wanita yang cedera dalam kejadian itu dan dirawat di wad HSNZ.

Pihak media diminta ke hospital itu kira-kira pukul 1 tengah hari apabila Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa memaklumkan ingin mengadakan sidang akhbar khas berhubung kes itu selepas beliau melawat mangsa kejadian terbabit.

Bagaimanapun ketika wartawan dan jurugambar menunggu kehadiran Jamshah mereka dimaklumkan tidak boleh memasuki dan merakam gambar bayi yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ.

Siti Jamilah Hanim dari RTM Terengganu, 29, berkata mereka memang maklum mengenai peraturan ketika berada di hospital dan sememangnya tidak boleh merakam gambar mangsa di wad ICU.

Namun ketika Jamshah melawat ibu bayi itu yang dirawat di wad biasa, pihak media sekali lagi dihalang daripada memasuki wad berkenaan untuk membuat liputan walaupun mengikuti rombongan ketua polis Terengganu.

"Kami faham prosedur ketika membuat liputan di hospital dan kami hormati arahan itu namun apabila di wad biasa pun kami turut dihalang masuk ke wad berkenaan, bagaimana kami nak buat kerja?" kata Siti Jamilah di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, seorang remaja berusia 17 tahun melarikan dua kenderaan dan sebuah daripadanya terlibat dalam kemalangan menyebabkan pasangan suami isteri cedera dan anak mereka berusia sembilan bulan koma.

Lew I-Ling, 31, dari akhbar Sin Chew Jit Poh berkata mereka agak terkilan dengan kejadian itu.

"Sebelum ini jika VVIP (orang kenamaan) datang melawat dan meminta kami membuat liputan masalah seperti ini tidak timbul sebegini teruk tetapi kenapa kali ini kami langsung tidak dibenarkan masuk," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri Dr Mohamad Omar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana menurutnya beliau belum menerima laporan mengenai perkara itu.

No comments:

Post a Comment