Thursday, November 14, 2013

Hak Kepada Suami Berpoligami Tidak Mampu Kekang Nikah Di Sempadan


Undang-undang syariah negara yang memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri masih tidak mampu mengekang trend pernikahan di sempadan negara.

Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Muhammad berkata, walaupun enakmen yang digubal itu bagi menjamin kepada kesejahteraan dan keamanan rumah tangga, namun masih ramai mengambil jalan mudah dan ingkar pada peraturan.

Menurutnya, kebanyakan mereka mengambil keputusan bernikah di negara lain kerana tidak mahu mematuhi undang-undang negara ini.

“Antara alasannya, mahu sorok status baru itu daripada isteri pertama dan juga tidak mampu berlaku adil dalam rumah tangga selaku ketua keluarga. Tidak kira sama ada suami itu berkemampuan ataupun tidak.

“Masalah perpisahan dalam rumah tangga bukan berpunca daripada mahkamah, undang-undang, poligami atau hukum sebaliknya cerminan kepada kelemahan kepimpinan yang ada pada suami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, kekurangan ilmu fardu ain dan adab dalam rumahnya tangga turut jadi faktor penyebab. Muhammad Shukri menasihatkan bagi mereka yang mahu berpoligami lakukan di tempat sendiri mengikut undang-undang yang sedia ada.

“Berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri bukan sewenang-wenangnya kerana ia bergantung kepada budi bicara Mahkamah Syariah dan akan memanggil isteri pertama untuk memaklumkan bahawa suami bakal berkahwin satu lagi.

“Kesalahan mereka yang nikah di sempadan ini kerana mereka tidak mahu ikut peraturan di negara ini serta ambil jalan mudah namun masalah akan timbul kemudian hari apabila pulang ke negara ini,” ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan, setiap bulan lebih 1,000 rakyat negara ini memilih untuk bernikah di selatan Thailand kerana keterbukaan negara Gajah Putih itu dalam hal perkahwinan.

Malah, jumlah tersebut dijangka lebih ramai jika turut melibatkan pernikahan melalui sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah.

No comments:

Post a Comment