Seramai 1,077 pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap ditahan dalam Ops Warta yang dijalankan di seluruh negara, sejak 25 Sept lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sehingga hari ini, lebih 3,000 pemandu yang dikenakan waran tangkap telah secara sukarela membayar saman tertunggak mereka dan waran tersebut dibatalkan.
Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas khusus dalam memastikan 1.7 juta saman tertunggak yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dibayar oleh pesalah trafik.
"Saya menyeru kepada mereka yang masih belum menyelesaikan saman tertunggak ini supaya segera melangsaikannya," katanya dalam sidang media di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6, di Marang, semalam.
Beliau terdahulu merasmikan Majlis Pengisytiharan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) sebagai Formasi Sempena Hari Peringatan Ulang Tahun penubuhan PSP ke-58 di Marang, semalam.
Mengenai perkembangan banjir, Khalid berkata PDRM menghantar bantuan tambahan untuk membantu mangsa banjir ke negeri-negeri Pantai Timur yang sedang dilanda banjir.
"Sekarang, kita telah menggerakkan aset-aset kami seperti bot serta pasukan marin untuk jurumudi bot dari tempat lain iaitu dari Johor, Ulu Kinta, Perak dan dari negeri pantai barat yang tidak menghadapi ancaman banjir untuk dibawa ke Pahang, Terengganu serta Kelantan.
"Selain itu, kita turut bekerjasama dengan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pejabat daerah di negeri terlibat dengan banjir," katanya.
Justeru beliau turut menasihatkan mangsa-mangsa banjir supaya mengikuti arahan berpindah oleh pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan mereka.
"Jangan risaukan harta benda yang ditinggalkan kerana itu menjadi tanggungjawab kami dalam memastikan harta yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan selamat.
"Saya juga ingin mengingatkan supaya ibu bapa sentiasa memastikan anak mereka berada dalam keadaan selamat...jangan benarkan mereka bermain air bah kerana sebelum ini berlaku kemalangan jiwa terhadap kanak-kanak adalah di atas kecuaian ibu bapa," katanya.
No comments:
Post a Comment