Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan sudah bergerak secara bersepadu dalam Ops Banjir bagi membantu mangsa di negeri yang terjejas.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian dan agensi yang terbabit adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
"Setakat ini, kita sudah tempatkan seramai 2,443 pegawai dan anggota polis membabitkan 310 bot di lima negeri yang terjejas teruk iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan dan Melaka untuk membantu memindahkan mangsa," katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Ahmad Zahid berkata, bagi melancarkan lagi operasi memindahkan mangsa, seramai 1,002 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) turut ditugaskan di 257 pusat pemindahan banjir di negeri terbabit dengan membabitkan 97 bot, 53 kenderaan pacuan empat roda dan lori (42).
"Seramai 1,967 anggota juga dikerahkan di 71 pusat pemindahan di tiga negeri yang terjejas teruk iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan," katanya.
Ditanya mengenai persiapan di kawasan yang dijangka akan dilanda banjir, Ahmad Zahid berkata, KDN bersama dengan kerajaan negeri dan majlis daerah kini sudah bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan bersedia sepenuhnya untuk dikerahkan membantu memindahkan mangsa banjir.
"Bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan kecemasan, boleh menghubungi talian 999 dan kita akan bekerjasama dengan pasukan polis dan bomba untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin," katanya.
Katanya, selain anggota keselamatan, Jabatan Pendaftaran Negara juga diarahkan untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir supaya mangsa yang hilang dokumen pengenalan diri seperti Mykad, sijil kelahiran atau sijil perkahwinan diberikan gantian dokumen secara percuma dengan segera apabila mereka membuat permohonan.
Manakala bagi tujuan gantian pasport, KDN mengarahkan Jabatan Imigresen menyediakan kemudahan gantian secara percuma kepada mereka yang kehilangan atau kerosakan pasport disebabkan bencana alam.
"Bagaimanapun, beberapa syarat perlu dipenuhi dengan mengemukakan bukti laporan pengesahan banjir daripada pegawai daerah atau ketua kampung.
"Gantian secara percuma akan diberikan kepada individu yang memegang pasport yang masih sah laku saja dan bayaran seperti biasa akan dikenakan sekiranya sudah tamat tempoh atau tempoh sah laku kurang dari enam bulan," katanya.
No comments:
Post a Comment