Friday, December 6, 2013

Ekonomi M'sia Lebih Cerah Tahun Depan Berikutan Pemulihan Global, Kata Ahli Ekonomi

Eksport Malaysia dijangka tumbuh 2.9 peratus tahun ini berbanding 2012 dan meningkat enam peratus tahun depan berikutan ekonomi global yang bertambah baik pada bulan-bulan akan datang, kata pakar ekonomi Institute of Chartered Accountants di England dan Wales (ICAEW).

Douglas McWilliams, Ketua Ekonomi ICAEW merangkap Pengerusi Eksekutif Centre for Economics and Business Research Ltd, berkata ekonomi juga dijangka lebih cerah tahun depan berikutan pemulihan ekonomi global dan pertumbuhan eksport.

"Kami mengunjurkan eksport Malaysia mencapai RM723 bilion untuk 2013 (pertumbuhan 2.9 peratus lebih daripada 2012) dan RM766 bilion untuk 2014 (pertumbuhan enam peratus), katanya.

Beliau berkata ekonomi Zon Euro yang kembali tumbuh serta peluasan lebih kukuh di Amerika Syarikat akan memberi ruang kepada rantau Asean untuk melaksanakan pemulihan ekonomi dan sosial yang diperlukan.

"Ini sejajar dengan keadaan China yang lembab, yang bermakna negara seperti Malaysia boleh merancang inisiatif untuk mengukuhkan lagi perdagangan antarabangsa dan hubungan pelaburan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai Laporan Tinjauan Ekonomi ICAEW di Kuala Lumpur hari ini.

ICAEW juga menjangkakan 2014 sebagai tahun peralihan dan produktif untuk Malaysia berikutan pengukuhan kewangan kerajaan, pengurangan subsidi dan pertambahan cukai.

Laporan itu berkata permintaan yang tinggi untuk eksport dari Asean ke Zon Euro dan Amerika Syarikat, akan membantu mengimbangi kemerosotan permintaan dari China dan Jepun.

"Bagaimanapun, tahap hutang yang meningkat mencecah kadar kritikal 60 peratus daripada keluaran kasar dalam negara, dianggap oleh pasaran kewangan sebagai pencetus ketidakstabilan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand, merupakan sesuatu yang membimbangkan," kata beliau.

McWilliams berkata beliau berkeyakinan penuh terhadap keupayaan Bank Negara Malaysia, memandangkan pengurusan bank pusat itu dianggap antara yang terbaik di dunia.

Laporan ICAEW itu juga memberi amaran bahawa jika bakal Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen, kurang berminat mengekalkan dasar kewangan yang longgar, ia boleh menyebabkan pelabur bertindak balas.

"Dalam Asean, ini mungkin menyebabkan mereka menjual aset, termasuk mata wang domestik Asean," katanya. Laporan bertajuk "Economic Insight: South East Asia" mengkaji ekonomi Asia Tenggara setiap empat bulan dengan tumpuan ke atas lima negara - Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

No comments:

Post a Comment