Monday, December 2, 2013

Dr Mahathir Sahkan Lepas Jawatan Penasihat Petronas

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan telah melepaskan jawatannya sebagai penasihat kepada Petronas, berkuat kuasa Ahad.

Dr Mahathir berkata surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Beliau dilantik sebagai penasihat kepada Petronas susulan persaraannya sebagai perdana menteri pada 2003. Negarawan itu berkata sudah masa untuk beliau meninggalkan syarikat petroliam negara itu kerana faktor usia serta ingin menumpukan perhatian kepada kesihatannya.

"Saya sudah 10 tahun bersama Petronas, saya rasa Petronas sudah beroperasi dengan baik dan mempunyai untung banyak.

Saya harap Petronas akan terus melaksanakan peranannya dalam meningkatkan penyertaan usahawan muda dalam syarikat itu," katanya.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas menganjurkan jamuan tengah hari untuk peserta forum antarabangsa 'Politik Kesederhanaan Ke Arah Keamanan dan Kestabilan' sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas perdana menteri itu dimasukkan di Institut Jantung Negara pada 16 Nov lepas dan dirawat hampir 10 hari setelah didapati terkena jangkitan paru-paru.

Ditanya sama ada beliau turut berhasrat untuk berundur daripada Proton Holdings Bhd, Dr Mahathair berkata masih belum berfikir untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau akan terus kekal sebagai penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Tioman, selain menjadi Canselor Universiti Teknologi Petronas.

Beliau juga merupakan penyelaras pembangunan sempadan Malaysia-Thailand, di samping menjadi penasihat Proton Holdings, milik DRB-Hicom.

No comments:

Post a Comment