Tuesday, December 3, 2013

Isu Penambahbaikan Pemilihan Parti Dijangka Kuasai Perbahasan Pemuda Umno

Datuk Azizah Mohd Dun
Isu penambahbaikan sistem pemilihan parti dijangka menguasai sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda Umno esok.


Menurut Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Harun, isu itu antara topik utama yang dibangkitkan oleh perwakilan dan anggota akar umbi sayap berkenaan.

Selain itu, turut akan diketengahkan ialah isu kepentingan rakyat seperti pekerjaan, perumahan, peluang perniagaan dan ekonomi Melayu, katanya ketika ditemui selepas sidang meja bulat penyelarasan usul perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda Umno, semalam.

Khairul Azwan yang memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda dalam pemilihan pada Oktober lepas, berkata sayap itu juga membincangkan langkah untuk menarik lebih ramai generasi muda menyertai Umno sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Selain itu, Pemuda juga akan menggunakan pendekatan media sosial bagi membantu kelancaran perhimpunan kali ini, katanya.

Sementara itu, Pergerakan Wanita UMNO akan mengemukakan tiga usul untuk dibahaskan pada perhimpunan sayap parti itu yang akan akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur mulai Rabu ini.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, ketiga-tiga usul tersebut ialah ucapan dasar Presiden UMNO, usul ekonomi dan agama serta usul sosial dan pendidikan.

"Usul-usul tersebut akan dibahaskan oleh 13 pembahas.

Wakil daripada setiap negeri akan berucap dan mereka ini merupakan gabungan muka lama dan muka baharu," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Usul ucapan dasar akan menekankan tentang sumbangan Wanita sebagai tulang belakang parti, manakala usul ekonomi pula akan memberi tumpuan kepada pendayaupayaan wanita dalam bidang ekonomi.

Usul agama, pendidikan dan sosial pula akan memfokuskan kepada permintaan Wanita terhadap kerajaan mengenai masalah graduan menganggur di samping menambah kemahiran sampingan seperti kemahiran bertutur bahasa asing.

No comments:

Post a Comment