Wednesday, December 18, 2013

Jangan Salah Guna Surat Sokongan Pertimbangan Untuk Lulus Projek - Ahmad Said


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said Selasa mengingatkan ketua-ketua jabatan di negeri ini supaya tidak menganggap surat sokongannya agar sesuatu projek itu dipertimbangkan, sebagai bermaksud arahan kelulusan.

Katanya beliau sudah mengingatkan semua pegawai dan ketua jabatan supaya menyiasat dan menimbang setiap permohonan projek bergantung kepada kesesuaian harga.

Ada pihak yang tidak memahami kaedah sebenar pada hal beliau hanya menurunkan tandatangan sokongan meminta supaya permohonan (sesuatu projek) itu dipertimbangkan terlebih dahulu, katanya kepada pemberita selepas Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said mendedahkan ada juga beberapa ketua jabatan di Terengganu yang meluluskan projek berdasarkan surat yang beliau tandatangan untuk sesuatu projek itu dipertimbangkan.

Beliau tidak pernah mengarah atau memaksa mana-mana ketua jabatan untuk meluluskan projek kepada individu tertentu, tegasnya.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang memantau perkara itu. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali.

No comments:

Post a Comment