Thursday, December 26, 2013

JKNT Sedia Pelan Strategik Hadapi Gelombang Kedua Banjir


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyediakan satu pelan strategik sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir berdasarkan pengalaman kejadian sama khususnya di Kemaman, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Perubatan) JKNT, Dr Mohamad Omar berkata, pelan strategik yang perlu dilaksanakan pihak hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri sekiranya banjir berlaku itu menggariskan empat penekanan utama iaitu bekalan air bersih, komunikasi, elektrik serta makanan.

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada semua penduduk terjejas banjir.

“Empat penekanan ini mengambil kira kelemahan semasa menghadapi gelombang pertama banjir untuk dipertingkatkan bagi memberi perkhidmatan lebih berkualiti kepada orang awam.

“Kita turut menyediakan beberapa tangki khas untuk menyimpan bekalan air bersih dengan kerjasama Syarikat Air Terengganu.

Selain itu, kita turut arahkan setiap hospital mencari alternatif untuk mengatasi masalah komunikasi terputus sebagaimana berlaku di Kemaman bagi memudahkan perhubungan dengan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan pakaian seragam dan beberapa kelengkapan lain daripada Hospital Serdang untuk disumbangkan kepada kakitangan Hospital Kemaman yang terlibat banjir, di Kemaman, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, bekalan elektrik yang terputus selama beberapa hari turut menyukarkan pihak hospital, bagaimanapun TNB sudah menyediakan kemudahan tersebut melalui sistem generator alternatif. “Pihak hospital juga diarahkan memohon bantuan daripada agensi terbabit.

Manakala dari segi bekalan makanan pula, pihak hospital perlu memastikan setiap pembekal dapat menghantar makanan kepada pesakit mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan Hospital Serdang, Mohd Shukri Yaacob berkata, sumbangan tersebut dikumpulkan daripada seluruh warga Hospital Serdang sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap nasib menimpa kakitangan Hospital Kemaman akibat banjir.

SH Online

No comments:

Post a Comment