Thursday, December 26, 2013

Kg Durian Telur Terima Dana RM1.67 Juta Bagi Program 'My Kampung My Future'

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperuntuk RM1.67 juta kepada Kampung Durian Telur, Hulu Besut tahun depan bagi melaksanakan pelbagai program di bawah 'My Kampung My Future' (MKMF).

Penyelaras MKMF Kampung Durian Telur, Anuar Mahmud berkata lebih setengah juta ringgit dibelanjakan pada tahun ini bagi menyediakan pelbagai infrastruktur dan projek dalam usaha meningkatkan hasil pertanian penduduk yang terdiri daripada 563 keluarga.

Katanya fokus MKMF tahun depan di kampung itu termasuk mewujudkan projek agropelancongan, baik pulih dusun, mengusahakan inap desa dan menaik taraf projek sedia ada.

"Setakat ini sembilan jenis projek pertanian dimulakan di Kampung Durian Telur yang dipilih sebagai kampung MKMF di Terengganu bermula tahun ini," kata Anuar yang juga Timbalan Pegawai Pertanian Besut ketika ditemui di kampung itu di Besut, hari ini.

Katanya setakat ini pihaknya membantu memulakan projek penanaman padi organik, cendawan, ternakan ayam dan itik, pemeliharaan kelulut dan puyuh di samping ternakan ikan kolam dan ikan sangkar serta bengkel membaiki motosikal.

Anuar berkata program MKMF itu dibantu Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian.

Sejak program itu diwujudkan, sudah terdapat belia yang sebelum ini tinggal di luar daerah mula kembali ke kampung bagi memulakan projek yang disediakan dan jumlah itu dijangka bertambah tahun depan, katanya.

No comments:

Post a Comment