Saturday, December 21, 2013

Kuarters Bomba Tidak Dihuni Boleh Digunakan Keluarga Terlibat Banjir

Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat yang tidak dihuni boleh dijadikan pusat pemindahan untuk keluarga anggota bomba yang terlibat dengan banjir di negeri ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Noriah Hashim.

Kuarters yang tidak didiami itu sesuai digunakan kerana ia mempunyai banyak tingkat dan memudahkan urusan pemindahan, katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Cukai yang terjejas akibat banjir di Kemaman, kelmarin.

Terdahulu, beliau dan 30 anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Terengganu dan 1M4U membantu membersihkan Balai Polis Kampung Pasir Gajah yang dilanda banjir baru-baru ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Md Salleh Sarbini berkata sebanyak lapan daripada 32 unit kuaters Bomba dan Penyelamat Cukai tidak didiami kerana ramai anggotanya tinggal di Bandar Baru Bukit Mentok dan Kampung Paya Berenjut.

Menurutnya sebanyak 70 anggota bomba terlibat dengan bencana itu.

No comments:

Post a Comment