Wednesday, December 4, 2013

Lebih 1,000 Lagi Mangsa Banjir Dipindahkan Di Terengganu

Penduduk Perumahan Permatang Badak Baru, Kuantan menyelamatkan diri selepas seluruh kawasan perumahan itu ditenggelami banjir kira-kira dua meter pada Rabu. Bagi penduduk perumahan tersebut, banjir tahun ini agak luar biasa apabila hujan turun dengan lebatnya sejak Sabtu lalu.


Sejumlah 1,443 orang lagi mangsa dipindahkan di kawasan terjejas banjir di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu petang ini,  menjadikan kesemua 4,929 orang ditempatkan di pusat pemindahan.

Pagi tadi, jumlah yang ada sebanyak 3,486 orang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mangsa yang baru dipindahkan di Kemaman sebanyak 481 orang, Dungun (294) dan Hulu Terengganu (668) orang. Jumlah keluarga yang terlibat adalah 1,275.
Di Kemaman, sebanyak 36 pusat pemindahan dibuka di kawasan terjejas dengan banjir iaitu balai raya, bangunan sekolah, surau, masjid dan sebagainya.

Di Dungun, lima pusat pemindahan dibuka setakat ini di balai raya, bangunan sekolah sementara di Hulu Terengganu, 17 buah pusat pemindahan di surau, dewan sivik, masjid, dan balai raya.


Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan keadaan air di beberapa batang sungai utama di negeri ini berada dalam kedudukan bahaya.

Sungai Kemaman misalnya di Jambatan Banho paras air melebihi paras bahaya setinggi 20.08 meter (bahaya 19 meter), Jambatan Air Putih 15.27 meter (bahaya 14 meter) dan Jambatan Tebak 19.37 meter (bahaya 19 meter). Sungai Dungun di Kuala Jengai air setinggi 26.12 meter melepasi paras bahaya 21 meter dan Jambatan Jerangau 13.39 meter (bahaya 12.5 meter) manakala di Hulu Terengganu di Sungai Menerong 25.1 meter (bahaya 24.5 meter).

Menurut jurucakap JPS, kedudukan paras air itu, dibaca pada pukul 3 petang ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini  mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, hujan yang kadang kala sederhana akan berlaku di Kuala Krai, Kelantan; Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran di Pahang serta Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu di Terengganu. Keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Amaran hujan lebat peringkat kuning juga dikeluarkan di Jerantut, Pahang; Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu; Tumpat, Kota Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Bachok di Kelantan; Sik, Baling dan Padang Terap di Kedah serta Hulu Perak, Perak.

Hujan itu dijangka berterusan hingga Khamis dan boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Menurut jabatan itu, amaran peringkat Kuning adalah tidak kritikal yang melibatkan hujan yang kadang-kadang sederhana dan lebat.

Peringkat Jingga juga tidak kritikal dengan hujan sederhana dan lebat yang berterusan. Peringkat Merah pula bermaksud amaran peringkat tertinggi dengan hujan lebat yang boleh membawa banjir teruk.

No comments:

Post a Comment