Keadaan laut yang kembali tenang dan cuaca baik menyaksikan nelayan laut dalam di daerah ini kembali ke laut bagi menangkap ikan.
Tinjauan Bernama bagaimanapun mendapati nelayan terbabit tidak bermalam di laut seperti kebiasaan.
"Biasanya nelayan laut dalam akan berada di laut untuk beberapa hari tetapi dalam musim tengkujuh ini mereka akan keluar pagi dan balik ke pangkalan pada sebelah petang untuk mengelak terperangkap dalam ribut," kata Anggota Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Daerah Dungun Mat Yassin Mohamad.
Beliau yang memiliki beberapa buah bot laut dalam turut berkata musim tengkujuh adalah musim rezeki bagi golongan itu kerana selain hasil tangkapan yang banyak harga juga agak tinggi.
"Saya puas hati dengan tangkapan awak-awak saya kerana hari ini mereka dapat banyak ikan-ikan segar dikategorikan kelas A seperti ikan merah, kerapu, jenahak, jemuduk dan ebek selain ikan biasa seperti kembung, kerisi, selar kuning dan lain-lain," katanya.
Menurut Mat Yassin, sekalipun hasil tangkapan nelayan tempatan meningkat, Terengganu masih bergantung kepada ikan dari luar seperti Pahang, Johor, Selangor dan Kedah bagi menampung keperluan.
No comments:
Post a Comment