Wednesday, December 11, 2013

Struktur Bumbung Bangunan Baharu Di Terengganu Tidak Dibenar Guna Struktur Aluminium


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam diberitahu, semua bangunan yang sedang dan akan dibina kerajaan tidak lagi dibenarkan menggunakan struktur bumbung ’cold formed light weight steel’ atau aluminium bagi mengelak kejadian bumbung runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Rosli Othman berkata, langkah itu diputuskan kerajaan negeri susulan beberapa insiden bumbung masjid yang menggunakan struktur aluminium runtuh termasuk Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal, dan Masjid Binjai Kertas, Hulu Terengganu beberapa bulan lalu.

"Semua bangunan yang sedang dan akan dibina kerajaan akan menggunakan bumbung dengan sistem kekuda besi ’hot rolled mild steel’, yang lebih tebal atau menggunakan kayu gred A,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Satiful Bahari Mamat (Pas-Paka) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri untuk mengelak insiden bumbung masjid runtuh berulang pada masa depan.

Bagi memastikan tahap keselamatan di bangunan sedia ada pula, Rosli berkata, Jawatankuasa Pemantau Khas di bawah penyelarasan dan pengawasan Jabatan Kerja Raya sudah diarahkan membuat siasatan dan analisis bagi mengesan sebarang ancaman kerosakan lebih awal.

No comments:

Post a Comment