Saturday, December 21, 2013

Tanaman Bernilai RM4.7 Juta Rosak Akibat Banjir di Terengganu

Seluas lebih 700 hektar kawasan tanaman di Terengganu mengalami kerosakan akibat banjir yang melanda baru-baru ini menyebabkan kerugian bernilai lebih RM4.7 juta.

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Md. Yusof Maidin berkata, kerosakan itu juga melibatkan tanaman kontan seperti padi, jagung, ubi kayu dan ubi keledek selain buah-buahan, sayur-sayuran, cendawan serta juga tapak semaian anak pokok (nurseri).

"Tanaman itu telah rosak kerana ditenggelami air dan jumlah petani yang terlibat seluruh negeri ini dengan banjir adalah sebanyak 856 orang,” katanya kelmarin.

  Md. Yusof berkata, daerah Kemaman mengalami kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM4.1 juta melibatkan 532 orang petani dengan kawasan seluas 317 hektar.

Ini diikuti daerah Setiu yang angka kerugian sekitar RM354,622 melibatkan 166 petani dengan kawasan seluas 375 hektar; Dungun kerugian RM200,000 melibatkan 81 petani dengan kawasan seluas 23 hektar; Hulu Terengganu (RM54,312 43 petani, 62 hektar) dan Marang (RM28,145, 6 petani, 7 hektar).

Dari segi tanaman, Md. Yusof berkata, tanaman kontan adalah antara tanaman paling besar mengalami kerosakan akibat musibah itu.

Beliau berkata mengikut data, seluas 128 hektar tanaman kontan mengalami kerosakan menyebabkan kerugian anggaran melebihi RM1.9 juta diikuti sayur-sayuran RM1.04 juta (84 hektar) dan buah-buahan RM1.02 juta (126 hektar).

Katanya, kerosakan lain melibatkan dua nurseri yang keseluruhan kerugian bernilai RM320,000; tanaman cendawan melibatkan dua peserta kerugian lebih RM10,000 dan juga 17 bengkel industri asas tani yang kerugian RM560,000.

Tambahnya, jelapang padi yang dikendalikan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara) juga turut terlibat dalam bencana alam itu dan seramai 28 peserta berkenaan mengalami keseluruhan kerugian hampir RM80,000.

"Maklumat ini kami perolehi melalui data-data yang telah dikumpulkan daripada pejabat-pejabat pertanian daerah di negeri ini sebelum laporan ini kami hantar ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

No comments:

Post a Comment