Saturday, December 21, 2013

VAT69 Dan Polis Besut Adakan Bacaan Tahlil Untuk Wira Negara


Kira-kira 200 pegawai dan anggota dari VAT 69 bersama anggota polis Besut serta penduduk kampung mengadakan bacaan yasin dan tahlil kelmarin (Rabu) untuk Allahyarham Wira Negara ASP Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lalu.

Majlis yang diadakan di Masjid Gong Bayor di Besut  ini adalah bersempena sambutan Perayaan ke-44 Tahun VAT 69 atau 69 Komando Pasukan Gerak Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpengkalan di Markas Briged Utara Ulu Kinta, Perak.

Turut serta Komander PGK, Datuk Azizan Abd Aziz; Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil; ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail; serta isteri Allahyarham, Nor Aziah Noor dan tiga anak lelakinya, Nur Aqma Amiruddin, 5, Nur Muhammad Aqil, 3, dan anak bongsunya Nur Aqib Syehid yang baru berumur 3 bulan.


Hadir sama, rakan rapat kepada Allahyarham, Inspektor Mazlan Mohamed yang merupakan rakan seperjuangan sebelum beliau rebah ketika bertempur dengan pengganas di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac lepas.

Azizan ketika ditemui berkata majlis berkenaan dirancang sempena perayaan ke-44 PGK, bagi mengingati jasa dan pengorbanan ASP Zulkifli dalam kalangan pegawai dan anggota PGK.

Katanya ASP Zulkifli semasa hayatnya merupakan pegawai yang amat dedikasi kepada tugasnya dan disenangi ramai, berikutan itu majlis bacaan yasin dan tahlil itu diadakan untuk memperingati jasa beliau. 

Majlis dimulakan dengan pembacaan yasin oleh pegawai dan anggota termasuk ahli Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (PERKEP) Besut dan Ulu Kinta, Perak sebelum diikuti dengan tahlil dan menzirahi pusara ASP Zulkifli yang terletak tidak jauh dari masjid berkenaan.

No comments:

Post a Comment