Wednesday, February 19, 2014

Ahmad Said Akan Berpeluh Dengan Dakwaan Dr Syed Azman Mengenai 4 Penyelewengan?


Benarkah Datuk Seri Ahmad Said akan berpeluh atau ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang akan berpeluh dan tergagap-gagap bagai orang hilang punca apabila disebut sebagai ‘PEMBOHONG BERSIRI’ sekali lagi oleh Ahmad Said?

Empat penyelewengan oleh Menteri Besar Terengganu itu yang dikatakan akan didedahkan oleh Dr Syed Azman Jumaat ini membabitkan pembalakan, perlombongan, Tasik Kenyir dan pembinaan Pasar Payang.

Beliau mendakwa akan mendedahkan empat penyelewengan terbesar di Terengganu dalam pertemuan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jumaat ini.

Katanya beliau sudah menerima surat balasan yang menyatakan persetujuan daripada SPRM yang bertarikh 10 Februari lalu. SPRM dikatakan bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan temu janji dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.


Selain beliau, antara pemimpin yang akan hadir pada pertemuan dengan Pesuruhjaya SPRM itu adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PAS), Adun Bandar, Azan Ismail (PKR) dan juga tokoh tempatan Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Ia berpremiskan Terengganu negeri yang cukup kaya tapi rakyat miskin disebabkan banyaknya penyelewengan.

Bajet Terengganu tertinggi di Semenanjung iaitu RM 2.3 bilion tapi rakyat hidup daif, itulah ‘slogan’ Syed Azman yang juga AJK Pas Pusat selama ini.

Persoalannya, apakah ada perkara baru yang akan didedahkan Dr Syed Azman? Sebelum ini beliau menyatakan empat perkara ini dalam konteks berikut:

1. Balak: Menurut kajian PKR dan PAS menunjukkan modus operandi pengutipan wang rasuah bersabit balak di Terengganu adalah seperti berikut:


Syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat. Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja. Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak. Pada 17 Julai 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu. Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Ahmad Said.

PKR dan PAS berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement). Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu 6 bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd, yang hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja. (lihat sini, dan sini).


Dalam isu rasuah balak ini, Ahmad Said sudah bersumpah beliau tidak terpalit langsung dengan tuduhan yang dibuat. Beliau menafikannya dan bersumpah tidak melakukan perbuatan itu dalam satu Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dengan SPRM. “Bismillahirrahmanirrahim, Wallahi, Watallahi, Wabillahi…Saya tidak terlibat melakukan rasuah dalam pemberian (skandal) balak,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Ikrar Intergriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, pada Isnin 22 April 2013.

2. Perlombongan: Kes ini tidak jelas sama ada dari segi pengeluaran lessen, pembahagian kawasan atau pembinaan kilang.


3. Tasik Kenyir: Berasaskan kenyataan terbaru pada 15 Februari lalu, Raja Bahrin menimbulkan perkara berikut: Menurutnya projek bebas cukai di Tasik Kenyir dilaksanakan bertentangan dengan konsep memelihara alam sekitar. Pulau Bayas yang menjadi tapak kompleks itu telah di’botakkan’ akibat penebangan pokok secara berleluasa. Pusat (kompleks) bebas cukai disambung elektrik daripada tanah besar ke pulau itu, dia terpaksa tebang begitu banyak pokok, Untuk membawa kabel elektrik sepanjang sekurang-kurangnya 30 kilometer ke pulau Bayas dari tanah besar berharga RM30 juta.  Apakah PAS akan mendakwa ada penyelewengan dari segi pemberian kontrak membabitkan kontrak kabel elektrik, penebangan hutan di Tasik Kenyir serta isu-isu lain seperti membekalkan pokok, orkid, ikan atau sebagainya?


4. Pasar Payang: Cakap-cakap PAS ialah kenapakah pembinaan Pasar Payang bernilai RM400 juta itu diberikan kepada syarikat yang dimiliki taukeh Syarikat Perwaja Steel Sdn. Bhd yang dikatakan sedang menghadapi masalah yang teruk ketika ini mengakibatkan pemberhentikan kerja dan menanggung hutang begitu banyak. Perwaja dikatakan rugi sehingga RM 3.2 bilion dan hampir enam bulan tidak beroperasi bahkan pengerusinya telah bertukar sehingga menyebabkan berlakunya kelewatan pembayaran gaji kepada pekerja di kilang tersebut. Isu Perwaja ini turut dipersendakan pemimpin PAS Kemaman.

Jika berdasarkan kepada empat isu ini rasanya Ahmad Said tidak berpeluh pun, malah boleh tidur dengan nyenyak kerana semuanya sudah dijawab dengan jelas sebelum ini.

Apapun, kita tunggu perkara baru yang mahu disampaikan oleh Syed Azmin yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan teamnya kerana dia berjanji kepada wartawan sebelum bertemu SPRM, beliau akan memberitahu wartawan secara detail empat perkara yang akan dibangkitkan itu.

Kita menunggu isi kandungan yang menjadi agenda utama perbincangan itu nanti dan sebaik-baiknya Syed Azman benar-benar menyediakan bukti baru.

Jangan sampai dia dilabelkan sekali lagi oleh Ahmad Said sebagai PEMBOHONG BERSIRI., sudahlah...

No comments:

Post a Comment