Friday, February 14, 2014

RTC Bantu Penduduk Luar Bandar Tingkat Sektor Pertanian

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang ditubuhkan di negeri ini akan dijadikan pusat pengumpulan hasil tani kepada penduduk terutama di kawasan luar bandar.

Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti dan Infodesa, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Ahmad Sulaiman berkata RTC akan dijadikan pusat integrasi yang menyediakan perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian.

Katanya RTC juga akan memfokuskan kepada skim latihan jangka pendek kepada penduduk setempat dalam pelbagai bidang bagi melahirkan usahawan berkaliber.

Menurutnya antara kemudahan yang disediakan di RTC termasuk latihan kemahiran, pertanian, pemerosesan produk agro makanan, perkhidmatan kesihatan, kemudahan pembiayaan kewangan dan latihan dalam bidang teknologi maklumat.

"Medan Info di RTC dapat membantu penduduk setempat mempromosikan hasil produk selain mendapat latihan dalam bidang kemahiran," katanya ketika merasmikan Perkhidmatan Bank Negara Malaysia (BNM) Link Bergerak di Kampung Tok Has, dekat Jerteh kelmarin.

Ketika ini katanya Terengganu mempunyai 34 RTC yang dibangunkan KKLW bagi faedah penduduk setempat. Beliau berkata penduduk boleh menyertai aktiviti yang berpusat di RTC yang diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sempena program berkenaan, penduduk mendapat perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan bank yang mengadakan pameran mengenai fungsi dan tanggungjawab masing-masing.

No comments:

Post a Comment