Sekeras-keras dan setegas-tegas Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, beliau tidak disaman kerana membuat fitnah atau menghina ahli atau pemimpin politik parti lain.
Ahmad Said sering dilebal sebagai ‘kakigaduh’ oleh pemimpin pembangkang tetapi belum sekali pun disaman oleh musuh politik, khususnya ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang digelarnya PEMBOHONG BERSIRI.
Pelik sedikit apabila ketua parti Islam, iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kena sama kerana ‘fitnah’ terhadap Mohd Shamsul Mat Amin, bekas calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), April tahun lalu.
Plaintif melalui firma guaman Tetuan Vasudevan A & Co., pada 5 Disember lalu telah memfailkan saman ke atas Abdul Hadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu selepas beliau mendakwa difitnah oleh pemimpin PAS berkenaan.
Mohd Shamsul yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat
Menurut Mohd Shamsul: “Saya tidak menyangka seorang yang bergelar Haji dan pemimpin parti Islam pula sanggup menaburkan fitnah terhadap saya.”
Apa yang disebutkan Hadi terhadapnya?
Antara intipati sidang media oleh Mohd Shamsul pada 3 Disember 2013 ialah:
1) Menyatakan bahawa dia akan meneruskan saman terhadap Abdul Hadi Awang kerana memfitnah beliau terlibat dengan kes menjual pil kuda;
2) Saman ini dibuat adalah bagi membersihkan nama beliau kerana beliau tidak pernah terlibat dengan kes pil kuda seperti mana dinyatakan oleh pihak berkenaan iaitu Haji Hadi Awang;
3) Beliau telah menghantar surat kepada Hadi pada 22 Oktober 2013 yang mana isi tersebut adalah untuk meminta Hadi memohon maaf kepada beliau namun Hadi tidak memperdulikannya;
4) Pada 7 Nov 2013 peguam Hadi berbohong dan menjawab surat beliau dan menyatakan bahawa Hadi tidak pernah memfitnah beliau terlibat dengan penjualan pil kuda; dan
5) Beliau memfailkan saman ini kerana terasa tertekan dan tidak berpuas hati terhadap fitnah jijik yang dibuat oleh Hadi keatas diri beliau.
Pelik kerana orang Islam dilarang memfitnah rakan Islamnya yang lain kerana itu ‘fitnah diibaratkan lebih kejam daripada membunuh’.
Malah, Hadi jelas enggan MEMINTA MAAF terhadap keterlanjuran atau kekilafannya!
Semakin menjadi tanda tanya ialah apabila Ahli Parlimen Marang yang juga ADUN Rhu Rendang disaman oleh seseorang – apa lagi bukan daripada musuh ketatnya UMNO – maka banyak persoalan bermain di kepala kita.
Apakah Hadi jenis bercakap ikut perasaan dan ‘lidahnya’ tidak boleh disekat-sekat apabila ia marah atau tercabar?
Atau apakah kerana taksub kononnya akan dapat menewaskan Barisan Nasional (BN) Terengganu sehingga dia tamak dan tidak mahu berkongsi kuasa dengan pihak lain yang menjadi sekutunya menentang BN?
Dalam kes bekas calon PKR Bukit Besi, Hadi langsung tidak melihat kepada kerjasama PAS dan PKR apabila ‘membelasah’ habis-habisan calon PKR itu. Hasilnya, PAS kalah dan PKR kalah di Bukit Besi.
Tidakkah sekiranya mereka berpakat dan Hadi ‘menjaga lidah dan perkataannya’, perlawnanan di DUN Bukit Besi, mungkin menjadi medan perlawanan menarik.
Pada PRU-13 Mei lalu menyaksikan persaingan tiga penjuru itu yang membolehkan BN berjaya mempertahankan kerusi melalui Roslee Daud dengan memperoleh 6,966 undi manakala calon Pas, Roslan Ismail mendapat 4,408 undi dan Mohd. Shamsul cuma memperoleh 52 undi.
Sekiranya mereka bersatu dan pakatan menang di DUN Bukit Besi, Dungun akan menjadi milik PAS 5-0 kerana mereka menang di kerusi Parlimen dan empat DUN, termasuk tiga lagi iaitu Paka, Sura dan Rantau Abang.
Sebaliknya biarpun PAS menang, Hadi kini menjadi pemimpin parti Islam yang terang lagi nyata, dia seorang pemimpin yang tidak tahu menjaga lidahnya apabila Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu kelmarin (23 Februari 2014), mengarahkan Hadi membayar saman berjumlah RM2 juta berikutan penghakiman ingkar yang diperoleh Mohd Shamsul.
Bukan sekadar membuat fitnah tetapi ingkar perintah mahkamah.
Apa makna ingkar? Ingkar bermakna tidak mematuhi ( buat dekk dalam pertuturan biasa) dan ini kesalahan kedua dilakukan Hadi.
Berikutan itu Hadi juga diarahkan membayar lima peratus faedah daripada writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500 setelah kegagalan memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Mohd. Shamsul sebelum ini.
Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.
Prosiding di Mahkamah Tinggi itu berlangsung hampir 30 minit di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Mohamad Nasrudin Mohamed.
Menurut wakil peguam plaintif, V. Saravanan, penghakiman itu dibuat selepas pihaknya menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang telah diterima oleh pihak defendan pada 16 Januari lalu.
Sehubungan itu katanya, plaintif telah memfailkan afidavit penyampaian dan perakuan ketidakhadiran defendan ke mahkamah sehari kemudian yang telah diluluskan oleh pihak mahkamah pada hari yang sama.
Dengan keputusan ini bermakna Hadi boleh membantah atau menentang penghakiman itu, dengan syarat dia kena failkan permohonan kepada mahkamah. Itu terpulang kepada peguam dia.
Sebaliknya sekiranya Hadi tidak memberikan maklum balas daripada defendan, peguam Mohd Shamsul akan menghantar salinan termeterai penghakiman yang meminta pembayaran saman plaintif iaitu sebanyak RM2 juta bersama faedahnya sekali. Dan sekiranya Hadi terus ingkar dengan tiada apa-apa jawapan, peguam Mohd Shamsul akan teruskan dengan pelaksanaan saman.
“Kami akan failkan penghakiman ini secepat mungkin dan sebaik sahaja mahkamah telah keluarkan salinan termeterai, kami akan serahkan kepada defendan untuk tuntut jumlah penghakiman," katanya.
Amat nyata bahawa usaha Hadi membuat tuduhan tersebut sebagai penjelasan kepada tindakan meletakkan calon-calon Pas di tempat-tempat yang ditandingi oleh calon PKR sehingga mengakibatkan berlaku pertindihan calon dalam pakatan pembangkang tidak berbaloi.
Tidak berbaloi kerana penjelasan Hadi dibuat dengan alasan pertuduhan yang berupa fitnah telah tersebar luas dalam semua media utama manakala rakaman ceramah dimuat naik di internet yang boleh dibaca dan didengar oleh masyarakat Malaysia secara meluas.
Laporan teganuku mengenai ucapan Hadi pada 22 April 2013. |
Ini memberi gambaran seolah-olah Mohd Shamsul adalah seorang yang tidak bermoral, tidak berpegang teguh kepada kepimpinan parti, bergiat dalam jenayah dan tidak boleh dipercayai untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan penduduk.
Laporan polis turut dibuat pada 22 Julai lalu bagi menyelamatkan reputasi dan nama baiknya.
Selain ganti rugi, Mohd Shamsul menuntut perintah injunksi terhadap Hadi daripada membuat sebarang kenyataan, pengucapan atau penulisan yang berunsur fitnah terhadapnya.
Kini menunggu sama ada Hadi akan menurut atau mematuhi perintah mahkamah atau terus berdegil terhadap saman yang dikeluarkan terhadapnya.
Apakah sekiranya Hadi membayar saman itu, beliau tidak perlu meminta maaf kepada Mohd Shamsul?
Dengan berdegil tidak mahu mematuhi arahan mahkamah, Hadi akan dilihat sebagai pemimpin parti Islam yang cuba menegakkan ‘benang basahnya’.
Juga dengan tidak meminta maaf, Hadi akan dilihat pemimpin yang cuba mempertahankan perbuatannya MEMFITNAH orang lain, sedangkan perbuatannya itu memang dilarang oleh Islam.
Jika demikian, Hadi sebagai Ahli Parlimen, ADUN dan presiden Parti Islam jelas menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak mengamalkan budaya Islam iaitu tidak melakukan fitnah dan jika tersilap cepat-cepat memohon maaf.
No comments:
Post a Comment