Saturday, February 8, 2014

Sumpah al-Quran Mampu Mencerahkan Kekusutan Pertelingkahan JDT-T-Team?


"Kalau tidak kerana faktor keselamatan, kerana apa? Saya dimaklumkan pasukan Terengganu terpaksa diiringi keluar oleh polis, dan mereka diiring hingga ke sempadan Mersing serta diminta jangan pakai jersi. "Apakah itu bukan kerana soal keselamatan?
- Datuk Seri Ahmad Said

Banyak persoalan dan banyak telahan. Lebih buruk banyak pihak KINI MENGHUKUM.

Selepas T-Team dihukum oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelbagai pendapat disuarakan dan banyak yang tidak puas hati.


Ada ke tahap menuduh, mengkritik serta seakan menghina Tunku Mahkota Johor yang turut disabitkan dengan tuduhan ‘kes menggertak pemain dan menyepak jurulatih kecergasan’ T-Team.



Semalam Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta pemain dan pegawai T-Team yang menyaksikan kejadian di terowong Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor baru-baru ini, termasuk pemain pertahanan pasukan itu, Mohd Irfan Abdul Ghani, bersumpah menggunakan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran

 Beliau turut mempersoal tindakan FAM yang didakwa gagal mengambil kira isu keselamatan dalam insiden membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA minggu lepas.


Ahmad Said berkata pasukan T-Team bukanlah bodoh untuk menarik diri sesuka hati pada perlawanan itu dan FAM sepatutnya meneliti lebih mendalam perkara berkenaan, bukannya membuat keputusan berdasarkan laporan pengadil dan pegawai terbabit semata-mata.

"Kalau tidak kerana faktor keselamatan, kerana apa? Saya dimaklumkan pasukan Terengganu terpaksa diiringi keluar oleh polis, dan mereka diiring hingga ke sempadan Mersing serta diminta jangan pakai jersi. "Apakah itu bukan kerana soal keselamatan?," kata Menteri Besar Terengganu itu kepada pemberita ketika melawat kawasan Dewan Undangan Negeri Telemong, Jumaat.

Kita bersimpati dengan T-Team dan kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid ada asasnya dari segi mahukan pertandingan ulangan.

Bagaimanapun dengan mengatakan keputusan FAM memberi kemenangan 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas T-Team dalam saingan Piala FA sudah dijangka dari awal lagi, sedikit sebanyak ia menggambarkan bahawa beliau hilang keyakinan kepada FAM.

Menurutnya, beliau telah menjangkakan keputusan itu, sekali gus menutup peluang pasukan berstatus kelab dari negeri itu ke peringkat suku akhir Piala FA.

Sebagai Presiden PBSNT yang bergabung dengan FAM, kenyataan Wan Ahmad Nizam memberikan seribu satu makna yang boleh mendatangkan seribu satu persoalan

Apakah beliau mempersoalkan integriti jawatankuasa yang ‘menghukum tidakan memulaukan perlawanan berkenaan?”

Sedangkan melalui  kenyataan pengadil perlawanan yang memaklumkan bahawa berikutan insiden di dalam terowong di Stadium Larkin, Sabtu lalu, walaupun mengarahkan supaya T-Team meneruskan perlawanan, namun TETAP ENGGAN menunjukkan T-Team enggan mematuhi arahan pengadil perlawanan.

Walau apa juga sebabnya, pengadil perlawanan hanya layak memberhentikan sesuatu perlawanan sekiranya berlaku kejadian seperti huru-hara yang diakibatkan oleh penonton, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan atau sesuatu di luar jangka.


Contoh di mana pengadil meneruskan perlawanan walau berlaku kekacuan penontoh ialah di Stadium Heysel di Brussels, Belgium pada perlawanan akhir Piala Eropah 29 Mei 1985 yang menyaksikan tragedi dimana 39 orang penyokong Juventus terbunuh akibat runtuhan tembok penahan yang tumbang disebabkan rempuhan penonton.

Ia dikatakan berpunca daripada rusuhan oleh penyokong Liverpool. Pasukan Liverpool dengan berat hati meneruskan perlawanan yang ditunda akibat kemelut rusuhan, tetapi tewas 1-0 di tangan Juventus

 Liverpool seterusnya digantung daripada menyertai pertandingan di anjuran UEFA selama 6 musim.

Dalam konteks pertelingkahan JDT-T-team ini, berdasarkan peraturan dan mengambil pertimbangan semua aspek termasuk keterangan daripada wakil kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan dan pengadil, FAM memberikan kemenangan kepada JDT berdasarkan Peraturan 4.12.15b mengikut Peraturan Liga Malaysia 2013-2016.

Ia bermaksud pasukan lawan dengan sengaja menarik diri dan gagal meneruskan perlawanan tanpa alasan yang kukuh (ini rasional FAM).

T-Team bernasib baik kerana tiada denda dikenakan terhadap pasukan tetapi amaran keras diberikan kepada JDT supaya perkara sama tidak berulang

 Itulah yang berlaku kepada keputusan FAM yang memutuskan T-Team tersingkir daripada saingan Piala FA apabila kemenangan di anugerahkan kepada JDT.

Sebelum pergi lebih jauh, kita teliti semula siapa yang terbabit dan susulan daripada pergaduhan pada perlawanan Piala FA antara kedua pasukan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team pada Sabtu.


1. Insiden awal ialah PERANG MULUT bukan pergaduhan.

2. Pemain import T-Team Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso dan Fabio Flor serta jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo mendakwa dikasari pengurusan tertinggi JDT. Berikutan itu, T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua selepas mendakwa bimbang dengan keselamatan mereka. Tidak jelas apakah isu keselamatan itu kerana ancaman penonton atau ancaman daripada sesuatu pihak lain kepada pemain dan pegawai T-Team. Ketika itu T-Team sedang ketinggalan 2-1. Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu kita teliti tanpa mengambil sentimen kenegerian atau pasukan. Yang terbabit ialah jurulatih kecergasan dan dua pemain import dari Terengganu. Sementara dari JDT pula membabitkan pengendali pasukan, Cesar Fernando Jimenez. Siapa Cesar? Bekas jurulatih Atletico Madrid dan Valencia. Dia professional.

Cuba kita periksa kenapa pergaduhan berlaku. Apakah semata-mata kerana perlawanan berkenaan atau ada isu lain yang kita tidak tahu. Umpamanya permusuhan lama, dendam atau sebagainya.

Kenapa dua pemain T-Team itu mengatakan mereka MENIMBANG mahu melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA kononnya demi keselamatan. Apakah negara ini tidak selamat untuk pemain import?

Kita kena ambil perhatian mendalam dengan cakap-cakap seperti ini kelak Malaysia akan dilabelkan sebagai ‘negara atau negeri TIDAK SELAMAT untuk pemain import di sini’. Sedangkan hakikatnya yang rasa tidak selamat ialah dua pemain dan jurulatih kecergasan sahaja.

Apakah mereka cemerlang seperti pemain JDT – Pablo Aimar atau beberapa pemain berikut yang pernah beraksi dalam Liga Semi-Pro serta Liga Malaysia seperti:


Karel Stromsik – Penjaga Gol (Chezchoslovakia - Piala Dunia : 1982 Sepanyol - Selangor (1989, 1990, 1991)
Peter Distzl – Penjaga Gol (Hungary - Piala Dunia : 1986 Mexico - Selangor (1993)
Atanas Pashev – Midfield (Bulgaria - Dunia : 1986 Mexico - K.Lumpur (1993)
Emile Mbouh Mbouh – Midfield (Cameroon - Piala Dunia : 1990 Itali, 1994 Amerika Syarikat - Perlis (1995, 1996) K.Lumpur (1997)
Stephen Keshi – Pertahanan (Nigeria - Piala Dunia : 1994 Amerika Syarikat - Perlis (1997) 
Perica Ognjenovic – Midfield (Yugoslavia - Piala Dunia : 1998 Perancis - Selangor (2006)
Joel Epelle – Penyerang (Cameroon - Piala Dunia : 2002 Korea/Jepun - Sarawak (2012)
serta Basko Balaban – Penyerang (Croatia - Piala Dunia : 2002, Korea/Jepun, 2006 Jerman - Selangor (2012

Apakah kesemua ini bermain dalam keadaan tidak selamat di negara ini?

3. Pemain T-Team dari Johor, Muhammad Irfan Abd Ghani, 25 mengatakan keselamatan pasukan itu tidak terjejas sedikit pun ketika itu, kata Irfan yang masih mempunyai kontrak bermain setahun bersama T-Team dan tidak diturunkan pada perlawanan itu. Ada mengatakan ketika kedua-dua pasukan memasuki terowong, Irfan masih di bangku simpan dan mahu memanaskan badan . Berikutan itu Irfan perlu disiasat kerana membuat kenyataan yang disifatkan mengelirukan. Dia perlu bersumpah al-Quran.

4. Azlan Johar – dilaporkan oleh Irfan bahawa BUKAN JURULATIH T-TEAM yang tidak mahu meneruskan perlawanan tetapi Azlan Johar. Jika benar cakap-cakap ini, apa ukuran TIDAK SELAMAT yang digunapakai oleh Azlan yang menyebabkan T-Team menerima padah kerana tidak meneruskan perlawanan? "Hampir semua pemain mahu meneruskan permainan tetapi pembantu jurulatih pasukan (T-Team), Azlan Johar membuat keputusan supaya kami menghentikan permainan dan balik," katanya kepada pemberita selepas memberi kenyataan bagi membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada 5 Februari lalu. Azlan juga perlu disiasat dan kenapa penggendali T-Team, Mohd Azrai Khor Abdullah hanya meminta Kepada siapakah beliau tujukan kenyataannya itu. Malah sehingga ke hari ini nampaknya beliau mengelak untuk bercakap mengenai isu ini. Semalam diminta mengulas mengenai kontroversi yang dikatakan cuba dicetuskan pemainnya, Irfan Abdul Ghani, dia berkata:"SAYA tiada masa. Malas nak layan. Banyak lagi benda saya kena fikir." Apakah kedua-duanya juga perlu bersumpah al-Quran?


5. Wan Ahmad Nizam dan Pengurus Pasukan T-Team, Rozi Mamat – siapa bekalkan maklumat untuk mereka? Yang membekalkan maklumat juga perlu bersumpah al-Quran!

6. Tunku Mahkota Johor - Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail dinamakan dalam laporan polis pemain import T-Team Fabio Flor. Jurucakap polis Terengganu mengesahkan laporan itu. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya tidak akan memilih bulu kepada mana-mana pihak demi mencari keadilan, dan ini termasuk terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu. Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung insiden di dalam terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos itu kerana Jawatankuasa Tatatertib serta Sekretariat FAM sedang melakukan siasatan. "FAM melalui Sekretariat dan Jawatankuasa Tatatertib akan membuat susulan dalam tempoh yang terdekat terhadap isu di dalam terowong mengikut proses setelah meneliti semua laporan yang kami dapat, jika terdapat bukti menunjukkan adanya pergaduhan dan pertelingkahan, kes ini akan dibawa untuk perbicaraan. "Perlu saya nyatakan di sini, tiada sebarang kompromi dalam hal ini dan sekiranya FAM perlu membawa Tunku Mahkota Johor menghadiri mesyuarat tatatertib, kami akan buat. "Saya sedia maklum laporan polis dalam hal ini telah dibuat, cuma FAM akan bertindak mengikut bidang kuasa kami dan hal lain diserahkan kepada pihak keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

7. Syahrizan Mohd. Zain, Ketua Pegawai Operasi T-Team bagi pihak pengurusan T-Team mendakwa Evaldo telah ditumbuk oleh pegawai pengurusan tertinggi PBNJ ketika menuju ke bilik persalinan sementara jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo ditendang di bahagian kemaluan. Susulan kejadian itu, T-Team menerusi, membuat laporan polis di Kuala Terengganu atas faktor keselamatan pemain pada 3 Februari lalu. Kenyataan dibuat berdasarkan laporan polis. Apakah ada sijil pemeriksaan doktor dibuat dengan kesan tumbukan dan sepakan? Dia salah seorang yang turut membuat kenyataan dan perlu bersumpah al-Quran

8. Cesar Ferrando Jimenez Perkembangan kes berkenaan bertambah menarik apabila jurulatih JDT itu turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Baharu Selatan pada hari yang sama selepas mendakwa kolar bajunya ditarik oleh Impagliazzo dan ditolak oleh salah seorang pemain T-Team. Ini juga memerlukan bukti kerana ‘tuduhan’ Cesar memerlukan saksi.

9. Fabio Flor berasal dari Brazil – Laporannya menyebut beliau diugut oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Johor dengan perkataan berbunyi, "***** you Brazil, I will kill you, this is my country!". Laporan dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu. Laporan polis ini berupa tuduhan terhadap Tunku Mahkota Johor dan memerlukan bukti seperti siapa mendengar ugutan itu dan jika benar, ia sesuatu yang amat dikesali! Jika tidak?

10. Akhir sekali Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah. Menurutnya kes itu kini dikendalikan pihak Sekretariat FAM untuk siasatan lanjut. Jika ada kes, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak dalam masa terdekat. "Sekretariat akan meneruskan siasatan lanjut terhadap apa yang didakwa berlaku dalam terowong berkenaan," jelas Afandi yang mempunyai latar belakang sebagai Peguambela dan Peguamcara. "Kami serahkan kepada polis untuk siasatan, tetapi pihak sekretariat tetap akan teruskan siasatan mengikut bidang kuasa yang kami ada. "Jika ada kes, ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib. Jadi, sekretariat akan teruskan siasatan terlebih dahulu yang dijangka selesai dalam masa terdekat," katanya. 


FAM perlu segera menangani masalah ini kerana jika dibiarkan berlanjutan akan menyebabkan ‘barah kemarahan’ semakin membara.

Dengan jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa siasatan berhubung insiden itu akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan kita berharap ia ditangani dengan seadil mungkin.

Jika ada kebenaran di pihak T-Team selepas bersumpah al-Quran dan memang bimbangkan keselamatan, wajar bagi FAM untuk menterbalikkan keputusan sebelum ini. Jika didapati laporan pengadil perlawanan itu berasas, T-Team perlu menerimanya sebagai pengajaran seperti kata Mohd Azrai Khor semalam bahawa: "Buat masa ini, saya menerima apa juga keputusan FAM dengan positif.”

No comments:

Post a Comment