Thursday, March 13, 2014

Hisham - Kerajaan Tidak Sembunyikan Maklumat Kehilangan Pesawat MH370

  "Terdapat banyak spekulasi yang perlu dijawab dalam beberapa hari lepas...Kita pastikan segala isu yang menjadi bahan spekulasi disiasat. Kami konsisten dan telus kepada media dan orang awam. Yang lebih penting adalah kepada keluarga-keluarga." 
- Hishammuddin Hussein

SEPANG (12 Mac 2014)  - Kerajaan Malaysia tidak menyembunyikan maklumat pesawat MAS  MH370 yang hilang sebaliknya menyelaras operasi itu dengan pelbagai negara.

Berikutan itu ia bukanlah suatu yang mudah, jelas Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Terlalu banyak kapal dan pesawat, terlalu banyak negara untuk kami selaraskan selain daripada kawasan yang luas untuk dicari, tetapi kami tidak akan berputus asa," katanya.

"Ya, kami berhutang kepada anggota keluarga (penumpang) dan semakin lama masa diambil untuk mencari pesawat itu, saya merasa lebih banyak berhutang kepada mereka," katanya.

Hishammuddin juga menjamin kerajaan akan terus berusaha untuk mencari pesawat yang hilang itu.

Pesawat MH370 yang menuju ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi 8 Mac lepas.


Menjawab kritikan hanya sedikit kemajuan dicapai dalam usaha mencari dan menyelamat itu, Hishammuddin berkata terdapat banyak spekulasi yang perlu dijawab dalam beberapa hari lepas.

"Kita pastikan segala isu yang menjadi bahan spekulasi disiasat. Kami konsisten dan telus kepada media dan orang awam. Yang lebih penting adalah kepada keluarga-keluarga," katanya.

Hishammuddin berkata operasi pelbagai negara itu adalah satu peringkat kerjasama yang berbeza.  

Semalam masuk hari kelima misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang diperluaskan kepada dua kawasan, meliputi kawasan seluas kira-kira 27,000 batu nautika persegi, kata


Operasi mencari di Selat Melaka meliputi 12,425 batu nautika persegi sementara pencarian di Laut China Selatan melibatkan kawasan seluas 14,440 batu nautika persegi.

"Empat puluh dua kapal dan 39 pesawat telah digerakkan bagi mencari MH370," katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Beliau berkata 12 negara menyertai pencarian itu dengan India, Jepun dan Brunei adalah negara terbaharu menyertai usaha itu.

"Ini adalah operasi antarabangsa. Kami berterima kasih dengan kerjasama rakan-rakan dan jiran kami, dan kami mengalu-alukan bantuan kesemua pakar," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa juga membawa masuk lebih ramai pakar untuk menganalisis kedua-dua data awam dan ketenteraan.

Kepada soalan mengenai laporan bahawa Vietnam mengurangkan operasi mencari pesawat MAS itu di kawasan laut, Hishammuddin menafikan perkara itu malah berkata usaha mencari masih berterusan seperti biasa oleh pasukan di negara itu.

"Kerjasama kita dengan Vietnam membuat pemantauan usaha mencari dan menyelamat sebenarnya sudah sampai tahap di mana mungkin kita dibenarkan untuk masuk ke perairan atau kawasan di luar tanggungjawab Vietnam.

Nampaknya mereka tidak ada halangan memandangkan semalam satu 'nota diplomatik' telah dihantar kepada pihak Vietnam," katanya.

Di Dewan Rakyat, suasana kecoh seketika apabila beberapa anggota pembangkang mendakwa kerajaan gagal mengendalikan insiden kehilangan pesawat MAS Sabtu lepas selain memberi kenyataan bercanggah.

Mohamad Imran Abd Hamid (PKR-Lumut) mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke dewan esok bagi memberi penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian itu.

"Selepas lima hari, apa yang berlaku..kemungkinan kapal terbang itu berada di dasar laut. Beri penjelasan, kalau boleh perdana menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein datang ke dewan esok," katanya.

Beliau menyatakannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) ketika mencelah perbahasan itu berkata kerajaan perlu bertanggungjawab dan menerima teguran pelbagai pihak di atas kelemahan dan kekurangan ketika mengendalikan kes kehilangan pesawat itu.

Beliau turut mendakwa kerajaan dan pihak berkuasa lambat bertindak sebaik sahaja menerima laporan kehilangan pesawat itu menyebabkan masyarakat antarabangsa mengkritik kemampuan negara.

Tuduhan dan dakwaan bertubi-tubi itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah di antara pembangkang dan penyokong kerajaan yang meminta semua anggota Parlimen khususnya pembangkang agar tidak menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata adalah lebih baik semua pihak tanpa mengira perbezaan latar belakang politik untuk bersama-sama memikirkan penyelesaian terbaik dalam mencari pesawat yang hilang itu.

"Ini masalah negara, masalah bersama, sepatutnya perkara seumpama ini tanpa kita kira latar belakang politik kita mesti selesaikan secara bersama dan tidak ada masa untuk kita tuding menuding dan salah menyalah

 "Ini mana boleh sebut kemungkinan (pesawat) jatuh, kemungkinan itu, kemungkinan ini, kerana ia soal krisis jadi mana boleh kita buat andaian, mesti ada bukti yang sahih baru boleh buat pengumuman," katanya.

Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pula mengingatkan semua wakil rakyat pembangkang supaya berhenti mempersoalkan cara kerajaan bertindak dalam insiden itu sebaliknya bersama-sama bermuhasabah diri dan berdoa untuk kebaikan semua pihak.

No comments:

Post a Comment