Wednesday, March 5, 2014

Insiden Terowong - PBNJ Diberi Tempoh Seminggu


Selepas lebih sebulan, misteri insiden kekecohan yang tercetus di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu kini memasuki episod baharu semalam.

Satu surat pertuduhan telah dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) gara-gara gagal menjamin keselamatan pegawai dan pemain di stadium itu ketika pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, PBNJ kini diberikan tempoh seminggu bagi menjawab surat pertuduhan itu mengikut perkara 28.1 pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana gagal menjamin keselamatan hasil siasatan pihak Sekretariat FAM baru-baru ini.

“Surat pertuduhan itu perlu dijawab PBNJ selewat-lewatnya pada 12 Mac, ia merupakan satu prosedur biasa.

“Selepas mendapat maklum balas daripada PBNJ, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak akan memulakan siasatan dan memanggil kesemua individu berkenaan bagi mendapatkan keterangan.


“Ingin saya jelaskan di sini bahawa semua tidak terlepas daripada dipanggil membantu siasatan termasuk barisan tertinggi PBNJ,” kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Hamidin berkata, beliau tidak mahu perkembangan susulan itu disensasikan oleh mana-mana pihak sehingga menjejaskan siasatan Jawatankuasa Tatatertib FAM kelak.

“Hentikan spekulasi, kertas tuduhan ini hanya dikeluarkan FAM selepas mendapati tuan rumah (Johor DT) gagal menjamin faktor keselamatan.

“Jadi, beri peluang kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM lakukan siasatan terlebih dahulu. “Jika ada kes berbangkit, bergantung kepada siasatan Jawatankuasa Tatatertib FAM sama ada wujudnya kes lain ataupun tidak.

“Namun, ia dijangka memakan masa yang panjang bagi mengumpul bukti yang kukuh sebelum Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, Johor DT juga boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atas kesalahan kelonggaran keselamatan ketika perlawanan jika sabit kesalahan.

“Namun, sama ada mereka (Johor DT dan PBNJ) terbukti bersalah ataupun tidak bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib,” jelas beliau lagi.

Pada 1 Februari lalu, insiden kekecohan itu berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain selepas tamat aksi babak pertama. Ekoran peristiwa tersebut, T-Team enggan meneruskan aksi babak kedua selepas pemain import dan jurulatih kecergasan, Elvado Rodrigues dan Stefano Impagliazzo mendakwa dikasari.

Biarpun T-Team mengemukakan laporan rasmi berhubung insiden tersebut, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas mendapati alasan keselamatan yang diberikan oleh The Titans tidak kukuh.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment