Thursday, March 20, 2014

Pelajar Koma Duduki SPM, Tebus Kegagalan Dinobat Pelajar Terbaik STPM Negeri

Pelajar meraikan kejayaan bersama rakan-rakan setelah keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia diumumkan di SMK Panji Alam, Kuala Terengganu, semalam.-
Setelah koma kerana menghidap demam denggi dan gagal mendapat semua A peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lepas, Wee Ying Ni, kini mampu tersenyum apabila dinobatkan antara tujuh calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 terbaik negeri Terengganu.

Wee, 19, mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 yang memperoleh A bagi empat subjek iaitu Pengajian Am, Matematik, Kimia dan Biologi dan sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin juga dinobat sekolah terbaik negeri.

Kejayaannya itu bukan sahaja dikongsi bersama bapanya, Wee Eng Poh, 53, dan ibunya Chee Lai Leong, 45, malah turut dikongsi bersama guru-guru dan rakan-rakannya yang tidak jemu membantu menaikkan kembali semangatnya untuk menebus kegagalan.

"Saya sangat gembira dapat mengatasi keputusan SPM sebab hanya mendapat 8A dan 1E untuk subjek Biologi manakala bagi subjek Bahasa Cina, saya diklasifikasikan sebagai tidak hadir kerana saya koma tiga hari selepas menghidap demam denggi.

"Masa saya sedang jawab kertas peperiksaan Biologi, saya disahkan menghidap demam denggi dan tak dapat menyelesaikan kesemua soalan dan keesokan harinya saya tidak dapat menjawab kertas terakhir saya iaitu Bahasa Cina selepas saya koma," katanya kepada pemberita di sekolahnya di Kuala Terengganu, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu berhasrat menyambung pelajaran di universiti tempatan di peringkat ijazah dalam jurusan farmasi.

Di BESUT, Nor Hasnita Samsuddin, 20, dari Kampung Gong Duek, Hulu Besut berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan tujuh pelajar terbaik STPM negeri.

Nor Hasnita pelajar SMK Putra, Hulu Besut mendapat PNGK 4.00 dengan memperoleh A dalam semua subjek iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi dan Seni Visual.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar yang memperoleh PNGK 4.00 daripada 654 calon yang menduduki peperiksaan itu di daerah Besut.

Beliau berkata menyedari kesusahan ibu bapanya yang bekerja sebagai pembantu kedai dan mempunyai adik-beradik yang ramai mendorong beliau untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencatat keputusan terbaik dalam STPM.

"Setiap hari saya balik jam 6 petang setelah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekolah di samping mendapat bantuan daripada guru-guru yang antaranya tidak balik selepas waktu persekolahan untuk membimbing kami," katanya ketika ditemui di sekolahnya.

Katanya beliau berhasrat menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment