Saturday, April 5, 2014

APMM Terengganu Tahan 14 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Negara

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Terengganu menahan 14 nelayan asing yang didapati menangkap ikan di perairan negara berhampiran Pulau Tenggol, Dungun Selasa lepas.

Ketua Penguatkuasa Kapten G. Xavier Thevadas berkata mereka ditahan susulan pemeriksaan ke atas dua bot nelayan dalam satu operasi sekitar perairan berkenaan pada kira-kira 1.45 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati kesemua nelayan, termasuk dua tekong, tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata nelayan asing terbabit dibawa ke pangkalan maritim di Kemaman untuk tindakan lanjut dan APMM merampas bot, peralatan serta hasil tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu vesel nelayan asing menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta seorang bagi setiap tekong dan RM100,000 bagi kru atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Thevadas juga berkata APMM akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan khazanah laut negara tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment