Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Terbuka Terengganu 2014 di Kuala Terengganu, minggu depan.
Presiden POAT Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata sebanyak 150 atlet dalam negeri dijangka menyertai kejohanan dua hari itu bermula 11 April ini di Pusat Latihan Olahraga MSNT di Gong Badak.
Beliau berkata kejohanan itu, yang diadakan semula selepas edisi terakhir pada 1985, bertujuan menghidupkan kembali sukan olahraga di peringkat akar umbi selain platform untuk atlet negara melepasi kelayakan Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.
Sukan Komanwel akan berlangsung di Glasgow, Scotland dari 21 Julai hingga 4 Ogos ini manakala Sukan Asia diadakan di Incheon, Korea Selatan, dari 28 Sept hingga 5 Okt ini.
Tarikh tutup untuk ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia adalah pada 31 Mei ini dan sebelum itu tidak banyak kejohanan dianjurkan dan Terbuka Terengganu ini boleh dijadikan platform untuk atlet mengukur kemampuan masing-masing, kata Wan Hashim pada sidang media semalam.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 120 atlet daripada sembilan persatuan negeri dan atlet negara mewakili Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) telah mengesahkan penyertaan.
"Jumlah atlet dijangka bertambah kepada 150 menjelang tarikh tutup penyertaan pada Ahad ini," katanya.
Beliau berkata sebanyak 39 acara termasuk 19 acara untuk wanita akan dipertandingan pada kejohanan tersebut, sekali gus menjadi medan terbaik untuk atlet menguji kemampuan masing-masing sebelum ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun ini.
Wan Hisham berkata kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhannya sebanyak RM30,000 dengan pemenang emas menerima RM200, RM150 untuk pingat perak dan RM100 untuk pemenang pingat gangsa.
No comments:
Post a Comment