Thursday, April 3, 2014

Batal Kontrak, Didenda Jika Gagal Siap Projek Empangan Paya Pedu

Menteri Besar Terengganu melakukan upacara 'Pecah Tanah' Empangan Paya Pedu pada Mac 2010.
Kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan Empangan Paya Peda, Besut, Terengganu bakal berdepan tindakan tegas termasuk dibatalkan kontrak dan denda jika gagal menyiapkan projek itu, Jun ini. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian tidak akan berkompromi kerana kontraktor berkenaan, JAKS Resources Berhad dan Pembinaan Sujaman Sdn Bhd sebelum ini telah pun diberi tempoh lanjutan kali pertama.

"Sekiranya masih lewat, tiada perubahan dari segi kelajuan, kita tidak akan teragak-agak batalkan kontrak dan beri kepada kontraktor lain.

"Mereka (kontraktor) juga akan dikenakan penalti kerana kelewatan menyiapkan projek sebanyak RM50,000 sehari (berkuat kuasa 17 Jun, sehari selepas tempoh akhir penyiapan projek 16 Jun)," katanya. 



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Uzbekistan di Malaysia Shukor Sabitov di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, semalam.

Projek pembinaan Empangan Paya Peda bernilai RM343.5 juta itu khusus bagi membantu meningkatkan keupayaan dan kecekapan pembekalan air untuk kawasan seluas 5,174 hektar kawasan jelapang padi di Besut.

Ia juga akan berfungsi sebagai takungan air terbesar daerah untuk dimanfaatkan bagi penanaman padi. Ismail Sabri berkata projek yang dimulakan pada Jun 2010 kini hanya 80 peratus siap dan ia sepatutnya siap sepenuhnya November lepas.

Namun berlaku kelewatan akibat faktor cuaca dan kementerian memberikan penambahan tempoh sehingga 16 Jun depan.


No comments:

Post a Comment