Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said membidas sikap pembangkang yang berterusan mengkritik kerajaan negeri berhubung isu kos membaiki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) sebanyak RM100 juta.
Menurut Ahmad Said, tidak timbul isu membazir sebagaimana yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmed Shah kerana kajian telah dibuat secara terperinci mengenai projek itu.
“Kita buat (projek), mereka kata membazir. Takkan kita nak biarkan (stadium) buruk macam tu. Semua tak betul bagi dia. Kalau kita nak buat yang baru, stadium itu takkan nak jadikan muzium," katanya ketika ditemui pada majlis pengundian projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas (PIAS) Tahun 2014 bagi Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, kelmarin.
Ahmad Said berkata, memang sudah jadi sikap pembangkang semua perkara tidak kena di mata mereka.
"Bercakap memang senang. Mereka hanya pandai kritik dan menyoal saja," katanya.
11 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman berkata, kerajaan negeri terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan mengeluarkan belanja sebanyak RM14.7 juta untuk membaiki tempat duduk dan padang SSMZ bagi membolehkan ia diguna untuk latihan dua pasukan bola sepak Terengganu.
Dua kontraktor telah dilantik untuk membaiki tempat duduk di kedua-dua bahagian berkenaan yang dimulakan pada Oktober 2012 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun ini.
Katanya, kajian dan perbincangan secara khusus bagi mencari kaedah terbaik untuk membaiki stadium berkenaan perlu dilakukan secara teliti memandangkan tiada peruntukan khusus untuk kegunaan tersebut.
Dianggarkan, kira-kira RM100 juta diperlukan untuk membaiki keseluruhan kemudahan stadium berkenaan termasuk pusat boling, skuasy, bilik persalinan dan lain-lain kemudahan.
No comments:
Post a Comment