Sunday, April 6, 2014

Masjid Kristal Perkenalkan Islam Kepada Pelancong Asing


Persatuan Darul Fitrah Terengganu akan meneruskan usaha dakwah mengenai keindahan Islam kepada orang bukan Islam bagi menambah bilangan umat Islam di seluruh negara.

Pengerusinya, Norhana Abdullah berkata, pendekatan itu dilakukan menerusi pelbagai program antaranya Program Pemandu Pelancong Masjid di masjid terpilih seperti Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI).

Menurutnya, program itu dimulakan dua tahun lalu, manakala Masjid Kristal dipilih kerana destinasi pilihan pelancong khususnya pelancong bukan Islam jika melawat Terengganu.

“Ia merupakan peluang terbaik untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam.
"Selepas tiga tahun, lebih 50 pelancong berminat dan serius mengkaji al-Quran dan ingin mengetahui lebih mendalam," katanya.

Kata Norhana, sukarelawan yang bertugas bertindak memberi kesedaran mengenai kesucian Islam kepada pelancong asing.

Mengulas lanjut beliau berkata, program seumpama itu telah berjaya di Bahrain, malah turut diperkenalkan di beberapa negara seperti Oman, Singapura, Turki dan Sri Lanka.

 "Dakwah lebih berkesan apabila kita menggunakan pendekatan secara bersemuka manakala masjid adalah tempat paling baik membicarakan soal ketauhidan.

“Kita mesti ambil kelebihan itu untuk promosikan agama melalui program pemandu pelancong di masjid," katanya.

No comments:

Post a Comment