Tuesday, April 8, 2014

Bantah GST - Ahmad MaslanPembangkang Cari Publisiti Murahan Di Dewan Rakyat


Ahli parlimen Pakatan Rakyat semalam  mempamerkan poster dan notis anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha terakhir menghalang rang undang-undang GST 2014 yang diluluskan Dewan Rakyat.
Ahmad Maslan

Poster yang antaranya bertulis “Tolak GST” itu di angkat ketika pengundian blok selepas bacaan pertama dan kedua rang undang-undang tersebut dalam sidang parlimen.

Seramai 118 ahli parlimen menyokong GST dan 81 menentang setelah dua hari perdebatan pada peringkat pertama yang bermula Khamis lalu.

Seramai 119 ahli parlimen menyokong manakala 81 membantah pada bacaan kedua hari ini.

Tiada perdebatan pada peringkat jawatankuasa kerana ahli parlimen pembangkang tidak mahu sebarang pindaan tetapi mahukan seluruh rang undang-undang ditarik.


Rang undang-undang ini seterusnya perlu melalui Dewan Negara sebelum dapat diwartakan sebagai undang-undang kontroversi GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Sebelum itu, barisan anggota parlimen dari Pakatan Rakyat bangun membantah rang undang-undang itu yang mahu diluluskan dengan segera.

Mereka mengibarkan poster yang menentang rang undang-undang diluluskan. Ini termasuk menunjukkan poster antaranya "Tolak GST" dan "Selamatkan Rakyat" yang menimbulkan bantahan dan sorakan daripada kalangan wakil rakyat BN.

Antara yang membantah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang melaung "Yang Dipertua, Mereka bawa plakad”.

Manakala kedengaran juga anggota parlimen BN yang menyatakan "Ini bukan demonstrasi jalanan, ini dewan" dan "cari publisiti murahan".

Kemudiannya, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun dan membaca peraturan mesyuarat perkara 20 berkaitan risalah yang dibawa ke dalam dewan.

"Adakah ia mendapat kebenaran ataupun tidak?" soalnya diringi sorakan anggota parlimen Pakatan. "Pembangkang buat macam di jalan raya Tan Sri.

Menunjukkan pembangkang tiada disiplin, Tan Sri," katanya sambil menerima bantahan daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Azmin Ali (PKR-Gombak) pula membalasnya dengan berkata: "Slogan pun (BN) nak takut, Tan Sri".

Bagaimanapun Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menenangkan keadaan dan berkata: "Terima kasih Kinabatangan kerana membawa perkara ini ke pengetahuan saya.

"Sebenar mengikut peraturan kita, kalau membawa sepanduk seperti begitu dilaranglah. Tetapi apabila saya nampak tadi, benda yang dinaikkan itu, sebelah sana pun ambil gambar.

"Tidak ada bantahan pada ketika itu, maka saya terpaksa bersabarlah. Perkara itu telah berlalu. Jadi lain kali Gombak, bukan bermakna saya benarkan," katanya sambi diringi gelak ketawa dewan.

 Terdahulu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus," katanya.

Ahmad berkata struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman, katanya.

Kadar GST sebanyak enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai, jelasnya.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk tidak menggunakan terma 'caj perkhidmatan' bagi perkhidmatan di hotel dan restoran memandangkan terdapat pengguna keliru antara cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan dan pengusaha.

"Apa yang penting sekarang ialah memberi penerangan kepada pengguna mengenai caj perkhidmatan dan perbezaannya dengan cukai barang dan perkhidmatan. "...dan ada baiknya cadangan itu dibincangkan agar caj perkhidmatan ditukar nama sama ada menggunakan terma caj restoran, caj hotel atau tips," kata Ahmad.

Beliau berkata langkah itu juga sebagai usaha untuk memastikan tidak ada pengusaha restoran atau hotel yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tersebut sehingga mengelirukan pengguna.

Oktober lepas, semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan CBP berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Persidangan dewan bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment