Tuesday, April 8, 2014

Pengurusan Sekolah Agama Di Terengganu Memuaskan - Audit

Pengauditan dijalankan antara Ogos hingga November 2013 mendapati pengurusan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu adalah memuaskan dari segi prestasi pengajaran dan pembelajaran.

Ini turut meliputi prestasi kemudahan sekolah dan asrama serta prestasi pengurusan aset, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

SMAN merupakan institusi pendidikan menengah milik kerajaan negeri Terengganu dan diuruskan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Masjid (Jabatan) di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Pihak audit mengesyorkan pencapaian prestasi SMAN boleh ditingkatkan melalui penambahbaikan beberapa kelemahan seperti jadual perancangan dan laporan pelaksanaan program kecemerlangan pelajar yang lebih terperinci.


Selain itu kemudahan asas dan asrama yang kurang sempurna dan tidak kondusif perlu diatasi selain mengatasi pelupusan aset yang tidak dilaksana dan mengatasi peruntukan kewangan bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih yang tidak mencukupi. Pada tahun 2006 kerajaan negeri Terengganu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan bagi memperkasakan pengurusan SMAN dengan menjadikannya Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Melalui MoU itu SABK menerima sumbangan daripada kerajaan Persekutuan seperti bantuan perkapita, gaji guru dan kakitangan, makan dan minum penghuni asrama, perkhidmatan kebersihan dan keselamatan sebagimana ditetapkan di bawah Akta Pendidikan 1996.

Selain itu SABK turut melaksanakan Kurikulum Kebangsaan mengikut standard ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan selain melaksanakan Kurikulum Pelajaran Agama merangkumi Kurikulum Pelajaran Menengah Al-Azhar (Thanawi) dan Kurikulum I'dadi yang ditentukan oleh kerajaan negeri.

Terdapat 10 buah SMAN di Terengganu terdiri daripada sebuah sekolah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh dan sembilan Sekolah Menengah Agama Harian.

Sehingga Ogos 2013 jumlah keseluruhan guru dan pelajar bagi 10 SMAN adalah 715 guru dan 8,085 pelajar dengan peruntukan RM87.78 juta daripada kerajaan negeri bagi tahun 2011 hingga 2013 untuk mengurus dan setakat Oktober 2013 sejumlah RM78.27 juta atau 89.2 peratus telah dibelanjakan.

No comments:

Post a Comment