Tuesday, April 15, 2014

Bayaran Tinggi Bagi Pengambilan Balik Tanah Kampung Ladang - Ahmad Said


"Kerajaan negeri buat permulaan ini membina rumah-rumah kediaman terlebih dahulu di kawasan berkenaan bagi memastikan Melayu dalam bandar terus kekal...Mana ada kerajaan di negara ini sanggup beri subsidi yang begitu besar dengan rumah yang selesa, tiga bilik tidur dan dua bilik air..."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan Negeri Terengganu menafikan pengambilan balik tanah di Kampung Ladang di Kuala Terengganu adalah satu penganiayaan kepada rakyat kerana pemilik tanah diberi bayaran tinggi selain disediakan rumah pada harga subsidi

Wahid Endut...ingin tahu bilangan pemilik
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata tanah di kawasan berkenaan adalah tanah pegangan bebas dan mengikut rekod, seluas kira-kira 4.46 hektar bermula dari Bulatan Ladang hingga Flat Kolam tanah orang Melayu sudah berpindah tangan melibatkan kira-kira 50 lot.

"Untuk menjaga kepentingan harta orang Melayu dalam bandar ini, kerajaan melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri telah mengambil balik tanah-tanah berkenaan untuk perancangan dan penyusunan semula bagi memastikan Melayu tidak terpinggir di dalam bandar.

"Kerajaan negeri buat permulaan ini telah membina rumah-rumah kediaman terlebih dahulu di kawasan berkenaan bagi memastikan Melayu dalam bandar terus kekal," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu jumlah keluasan dan bilangan pemilik yang terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk rancangan KT City Centre Draft Special Area Plan 2030 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad berkata sebagai contoh di Kampung Ladang Tok Pelam, rumah yang dibina bernilai RM150,000 seunit dan dijual pada harga RM75,000 seunit kepada mereka yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di kawasan berkenaan.

"Mana ada kerajaan di negara ini sanggup beri subsidi yang begitu besar dengan keadaan rumah yang selesa, tiga bilik tidur dan dua bilik air," katanya.

Menteri Besar berkata begitu juga dengan projek perumahan berhampiran yang berharga RM197,400 tetapi dijual pada harga subsidi RM97,000 untuk orang yang terlibat dengan pengambilan balik tanah.

Mengenai pengambilan balik tanah di Kampung Tanjung yang terlibat dengan rancangan KT City Centre Draft Special Area Plan 2030, Ahmad berkata, seluas 92,793.874 meter persegi atau 9.2793 hektar melibatkan 800 pemilik.

Sementara itu semasa sidang dewan berhenti rehat, semua anggota dewan diketuai Ahmad menurunkan tanda tangan pada kain rentang sebagai tanda simpati berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

No comments:

Post a Comment