Monday, April 7, 2014

Felda Terengganu Mahu Bekerjasama Dengan IPT Untuk Latih Anak Peneroka

Felda Wilayah Terengganu merancang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pusat latihan yang menawarkan program dalam bidang minyak dan gas bagi melatih anak-anak Felda.

Penolong Pengarah Seranta Felda Wilayah Terengganu Datuk Abdul Razak Endut berkata kerjasama itu mungkin dijalin menerusi skim pembiayaan anak-anak Felda.

"Semua ini dalam peringkat perancangan dan kita akan membawa perkara ini ke peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas Program Felda Bestari dan Watikah Pemimpin Felda Jerangau Barat serta Felda Mengkawang semalam.

Katanya Felda mahu memastikan semua anak-anak peneroka berpeluang melanjutkan pelajaran termasuk mereka yang kurang cemerlang.

Beliau berkata Felda memperuntukkan kira-kira RM18 juta setahun untuk membiayai anak-anak Felda yang mengikuti pengajian peringkat diploma serta ijazah pertama dalam pelbagai bidang.

"Pembiayaan RM18 juta ini termasuk yuran pengajian, duit poket sebanyak RM150 sebulan dan kita sentiasa pantau perkembangan mereka menerusi laporan prestasi pelajar yang dihantar oleh kolej setiap semester," katanya.

No comments:

Post a Comment