Sunday, April 6, 2014

Hisham - Harapan Untuk Penumpang, Krew MH370 Hidup Masih Ada


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan kebarangkalian bagi penumpang untuk terus hidup masih ada. Menurutnya selagi pesawat MH370 tidak ditemui, masyarakat dunia harus terus berharap bahawa kemungkinan penumpang dan krew pesawat tersebut untuk hidup masih ada.

"Ini adalah harapan buat keluarga penumpang dan pesawat tersebut, walau apa jua keadaan kita perlu terus mengandaikan bahawa mereka masih hidup, walau pun kemungkinan tersebut tipis," katanya.

Justeru, beliau merayu kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang andaian berhubung dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan pesawat MH370 hilang di Lautan Hindi.

"Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa MH370 telah hilang di Lautan Hindi, bukannya terhempas di Lautan Hindi.

"Saya merayu kepada orang ramai supaya jangan cepat mempercayai sebarang khabar angin berhubung dengan kenyataan beliau," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman semalam,  menafikan laporan yang menyatakan pesawat MAS penerbangan MH370 membuat bulatan semasa berpatah balik.

"Pesawat itu tidak membuat bulatan, itu tidak benar," kata beliau merujuk kepada laluan melengkung pesawat yang berbeza, yang bocor kepada pihak awam.

Azharuddin menyatakan demikian pada persidangan akhbar rutin, yang turut dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketua pegawai eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sebelum ini, rakaman radar tentera Malaysia menunjukkan kemungkinan MH370 telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Diagram dikeluarkan Kementeran Pengangkutan bagaimanapun menunjukkan bahawa MH370 telah membuat belokan mendadak, dan bukan bulatan sebagaimana didakwa oleh beberapa pihak.

Mengulas mengenai kerjasama dengan syarikat Boeing, pengeluar pesawat MAS itu, Azharuddin berkata pasukan dari syarikat itu turut menyertai pasukan penyiasat bagi membantu mengesan kedudukan sebenar MH370.

"Mereka bersama dengan National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB) dan juga pasukan penyiasat dari negara Australia dan juga China, mereka ada di sini dan boleh dihubungi melalui telefon serta emel," katanya.

Hishammuddin turut berkata pasukan Boeing itu akan turut menyertai tiga kumpulan siasatan yang diumumkan hari ini. "Saya percaya mereka akan tampil ke hadapan, tak ada apa-apa perkara yang nak kita sembunyikan. Biarlah ikut prosedur dan struktur yang telah kita tubuhkan," katanya.

Pencarian peringkat antarabangsa jet Boeing 777-200ER yang hilang itu sedang mengejar masa kerana isyarat kotak hitamnya dijadual padam pada 7 April, 30 hari selepas pesawat itu lenyap dari imbasan radar awam pada 8 Mac.

Penerbangan MH370 itu hilang ketika membawa 227 penumpang dan 12 kru, setelah berlepas kira-kira sejam dari KLIA pada 12.41 pagi 8 Mac. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

No comments:

Post a Comment