Monday, April 7, 2014

Lembaga Lada Malaysia Sasar Buka Lebih Banyak Ladang Di Semenanjung

Lembaga Lada Malaysia merancang menambah kawasan penanaman baharu lada hitam, terutama di Semenanjung Malaysia, berikutan minat yang semakin meningkat terhadap komoditi itu di peringkat global.

Malaysia, pengeluar lada (hitam dan putih) kelima terbesar dunia, menanam 98 peratus daripada 14,000 hektar kawasan tanaman ladanya, di Sarawak.

Pengurus Besar Pejabat Wilayah Johor Stephen Mariasomalia berkata pada masa ini tanaman lada hitam di Semenanjung meliputi kawasan seluas 200 hektar, dan akan ditambah kepada 70 hektar lagi tahun ini.

"Lada hitam di tanam di Melaka, Perak, Kedah dan Terengganu. Kami merancang meluaskan lagi ladang di negeri-negeri ini selain Kelantan dan Pahang," katanya baru-baru ini.

Mereka yang berminat, boleh menghubungi pejabat wilayah Johor di talian 07-5986485 layari laman web www.mpb.gov.my untuk maklumat lanjut.



Mariasomalia, yang memantau operasi lembaga itu di negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia, berkata lada hitam berpotensi di tanam di Pantai Timur memandangkan tidak banyak saingan berbanding aktiviti industri di negeri-negeri di selatan selain tenaga kerja yang ramai.

Pada masa ini kira-kira 68,000 keluarga petani terlibat dalam penanaman lada hitam, termasuk pekebun kecil dan ladang besar.

"Tumpuan utama kami ialah meningkatkan aktiviti penanaman. Sesiapa yang berminat, dan mempunyai rancangan besar, kami boleh membantu, namun kami sebenarnya mencari pekebun kecil," katanya.

Untuk tahun ini, minat untuk menanam lada hitam sangat tinggi dan lembaga itu menerima lebih 100 pemohon, dengan ada sebahagiannya perlu menunggu sehingga tahun depan.

Bagi menggalakkan penanam komoditi itu dalam negara, kerajaan menyediakan peruntukan untuk membantu petani menanam lada hitam sehingga projek itu berjaya.


No comments:

Post a Comment