Sunday, April 6, 2014

Pahang Rampas Kedudukan Teratas Liga Super, Kelantan Kembali Menang

Pemain Pahang, Matias Ruben Conti (kanan) gagal menjaringkan gol apabila diasak oleh pemain T-Team, Mohd Hasbullah (tengah) dan penjaga gol, Mohd Shahril pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam semalam.
Pahang berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Terengganu selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Dengan kemenangan tersebut skuad Tok Gajah kini mengumpul sebanyak 22 mata dengan perbezaan dua mata di hadapan pencabar utama, Terengganu dan Selangor yang masing-masing mengumpul 20 mata.

Pahang menjaringkan gol pertama menerusi penyerang berasal dari Argentina, Matias Ruben Conti pada minit ke-60. Zeshan Rehman kemudianya mengesahkan kemenangan bagi pasukan Tok Gajah apabila menjaringkan gol hasil tandukan pada minit ke-88.

Selangor terus kekal di kedudukan kedua carta liga setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh. Paulo Rangel menjadi wira skuad Gergasi Merah apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21 hasil sepakan penalti selepas S. Veenod dijatuhkan oleh pemain Perak.

 Kelantan turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.








Pemain import'The Red Warriors', Mohamed Shawky Aly menanduk hantaran silang dari kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi, pada minit ke-60.

Maruah pengendali Kelantan, Steve Darby yang sebelum ini tercalar kembali pulih apabila pasukan tuan rumah memperagakan aksi garang dan hampir memecahkan kebuntuan seawal minit keenam, namun rembatan kaki kiri peledak import Lebanon, Mohamad Ghaddar sekadar menggegar tiang gol meskipun penjaga gawang ATM, Syed Adney Syed Hussain sudah tertewas.

Tujuh minit selepas itu, Obina Nwaneri terlepas peluang terbaik untuk meledakkan gol pertama Kelantan selepas rembatannya tersasar meskipun Syed Adney sudah terkeluar daripada posisinya.

Ghaddar mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol sulung Kelantan pada minit ke-18 apabila rembatan derasnya berjaya ditangkap kemas Syed Adney, sekali gus menyelamatkan gawangnya daripada dibocori.

Ketika pasukan tuan rumah rancak melakukan asakan ke kubu pelawat, pemain sayap lincah ATM, Vinice Elphi Danny Kaya hampir meledakkan gol pertama pasukan itu pada minit ke-38, namun rembatan kencangnya sekadar menggegar sisi jaring walaupun berjaya menggelecek tiga pertahanan Kelantan.

Pada minit-minit akhir babak pertama, ATM sekali lagi terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila rembatan penyerang importnya, Manuel Arostegui berjaya diselamatkan barisan pertahanan Kelantan dan keputusan tersebut kekal sehingga rehat.

Pada babak kedua, tuan rumah yang lebih banyak mendominasi perlawanan terus kempunan untuk memperoleh jaringan apabila setiap serangan bahaya yang dilancarkan mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan pelawat.

Syed Adney menjadi wira pasukan itu apabila menguis keluar bola tandukan Nwaneri pada minit ke-55, sekali gus menafikan hasrat tonggak kelahiran Nigeria itu untuk meraikan jariangan pertama tuan rumah.

Tonggak kelahiran Mesir, Mohamed Shawky Yazib akhirnya meleraikan kebuntuan apabila meledakkan gol pertama skuad The Red Warriors pada minit ke-60 selepas menanduk kemas hantaran ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi seterusnya mengecewakan Syed Adney di gawang ATM.

Bagaikan tidak cukup dengan jaringan tersebut, tuan rumah membawa masuk dua tenaga baharu Francis Forkey Doe dan Khairul Izuan Rosli bagi menggantikan Ghaddar serta Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-73 bertujuan untuk menambah sengat dibahagian serangan namun gagal membuahkan hasil.

Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan melakar kemenangan pertama sepanjang empat aksi Liga Super sepanjang bulan Pasukan Lions XII pula mengalahkan pasukan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Lions XII berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-52 hasil tandukan yang dilakukan oleh Muhammad Safuwan Baharudin. Selang 10 minit kemudian, pasukan dari Singapura itu menggandakan jaringan menerusi Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal.

No comments:

Post a Comment