Wednesday, April 2, 2014

JAKIM Peruntuk RM885 Juta Bagi Perkembangan Syiar Islam Seluruh Negara Tahun Ini




Kerajaan memperuntukkan RM885 juta tahun ini bagi perkembangan syiar Islam di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata peruntukan itu bagi perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran aktiviti keagamaan untuk rakyat dan daripada jumlah itu RM540 juta untuk pembayaran elaun imam, guru takmir, guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) serta Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD).

"Peruntukan ini membuktikan kecaknaan kerajaan persekutuan dalam memastikan keselesaan empat golongan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah di peringkat akar umbi ini kerana mereka adalah teraju utama memastikan kelangsungan keharmonian masyarakat setempat.

"Peranan mereka, semakin hari semakin mencabar dengan serangan ancaman akidah dari pelbagai sudut...jadi dengan dana bantuan yang diberikan ini diharap dapat dimanfaatkan untuk mempelbagaikan usaha menyuburkan roh Islam di tempat mereka bertugas," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa imam, guru takmir dan anggota jawatankuasa masjid peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh.

Multaqa anjuran JAKIM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu dihadiri 1,300 imam, guru takmir, guru KAFA dan PPMD di negeri ini sebagai platform untuk berbincang isu berkaitan pengurusan dan pengimarahan masjid serta isu-isu semasa.

 Jamil Khir berkata pada tahun ini, JAKIM menyalurkan RM46.6 juta kepada kerajaan Terengganu untuk membayar elaun kepada 1,043 imam (RM8.74 juta); 249 guru takmir (RM2.19 juta); 3,442 guru KAFA (RM35,256) dan tujuh orang PPMD (RM210,840).

No comments:

Post a Comment