Thursday, April 10, 2014
Kerajaan Terengganu Taja Ekspedisi Everest
Seramai lapan pendaki utama serta lima pendaki sokongan yang kesemuanya anak jati Terengganu akan menggalas cabaran negara mendaki dan menawan puncak Gunung Everest pada suku kedua 2015.
Ekspedisi pendakian oleh Persatuan Kembara Negara (PKN) itu mendapat pembiayaan Kerajaan Terengganu yang bermurah hati menaja perbelanjaan sebanyak RM1 juta.
Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said berkata ekspedisi pendakian itu akan diketuai oleh Presiden persatuan itu Datuk Khalid Yunus, bekas Timbalan Menteri Penerangan yang dibantu oleh Mohd Rafi Kori selaku ketua jurulatih yang pernah menjejakkan kaki ke bumbung dunia pada Ekspedisi Merdeka de’ Everest 2007.
"Kita taja sebahagian daripada kos keseluruhan pendakian dan saya percaya belum ada mana-mana kerajaan negeri yang sanggup menaja kerana sudah pastinya kita ingin dapatkan pencapaian individu kita selain mengharumkan nama negara," katanya.
Kerajaan negeri berharap penganjuran ini akan dapat menggalakkan ramai pendaki dari kalangan rakyat negeri ini mendaki ke puncak Everest, katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan replika cek dan bendera Terengganu sebagai simbolik perasmian ekspedisi "Terengganu De Everest 2015" kepada Khalid di Kuala Terengganu semalam.
Ahmad Said berkata ekspedisi melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) itu turut mendapat sokongan penuh dari kerajaan pusat.
Dijangka ekspedisi pendakian berkenaan akan bermula dari Kathmandu Nepal, pada pertengahan Mac dan dijangka berakhir pada Mei 2015, bergantung pada keadaan dan cuaca sepanjang pendakian dilakukan.
Lapan pendaki utama tersebut diketuai oleh seorang guru Mohd Redzauddin Ismail, Mohd Anuar Mohd (tukang masak), Mashelmie Sidik (pengajar Kolej Tati), Mohd Izzat Ilman Zahari (peniaga), Ahmad Saharudin Abdullah (bekerja sendiri), Mohd Azhari Abdul Wahab (pemandu Klinik Kesihatan), serta dua wanita Nor Asma Fadzila Mansor (kerani) dan Wahida Amalin Masngun (pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM)).
Manakala lima pendaki sokongan, Mohd Hanif Mat Rasat (pelajar UiTM), Hisyam Mari Zawawi (pelajar Universiti Putra Malaysia), Tengku Ahmad Sufian Tengku Ibrahim (pembantu tadbir), Ahmad Shaifuddin Ahmad Sharif (pelajar UiTM) dan Fauzi Jaafar (juruteknologi pergigian).
Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 42 tahun dan datang dari latar belakang berbeza.
Sementara itu, Khalid berkata lapan pendaki utama ini akan menjalani latihan ketahanan diri dengan mulai mendaki Gunung Annapurna di Nepal selama 18 hari dan akan bertolak hari ini.
Kesemua pendaki negara ini menerima latihan intensif di dalam mahupun luar negara dalam usaha menawan puncak tertinggi di dunia itu.
"Lepas di Annapurna, mereka akan mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania pada Jun, Gunung Elbrus di Rusia pada Ogos sebelum pulang mendaki ke Gunung Kinabalu pada November ini.
Malah mereka akan mendaki satu lagi gunung iaitu Aconcagua di Argentina pada Januari depan," katanya.
Gunung Everest menjadi idaman para pendaki seluruh dunia di mana ia merupakan puncak tertinggi di dunia setinggi 8,848 meter dengan mempunyai dua laluan memanjat, rabung tenggara dari Nepal dan rabung barat laut dari Tibet.
No comments:
Post a Comment