Thursday, April 10, 2014

SKM Sasar Tubuh 40 Buah Koperasi Baru Di T'ganu Tahun Ini

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu menyasarkan penubuhan sekurang-kurangnya 40 lagi koperasi di seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.

Pengarahnya, Mahmud Kadar berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan koperasi yang terdapat di Terengganu melebihi 600 buah berbanding hanya 566 koperasi yang ada ketika ini.

"Secara purata, kita menjangkakan penubuhan koperasi baru antara 35 hingga 40 buah setiap tahun. 

Bagaimanapun, dalam penubuhan koperasi, kita kena lebih realistik kerana koperasi ini melibatkan perniagaan, projek yang diaudit, mesyuarat agung dan sebagainya. Jadi, ada yang berjaya dan ada yang masih belum berjaya," kata kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam.

Mahmud berkata, sebagai sebuah suruhanjaya yang khusus dalam hal ehwal koperasi, SKM bukan sahaja bertanggungjawab terhadap penubuhan sesebuah koperasi tetapi untuk membimbing mereka terutamanya koperasi yang baru berdaftar.

Mengenai koperasi yang ditubuhkan itu berjaya atau tidak, Mahmud berkata, SKM telah meletakkan beberapa garis panduan termasuk mengkategorikan koperasi tersebut kepada beberapa kluster iaitu besar, sederhana, kecil dan mikro.

"Tahun lepas sahaja, sebanyak 14 buah koperasi telah disenaraikan sebagai koperasi berkluster besar dengan jumlah pendapatan melebihi RM5 juta setahun," katanya.

Beliau berkata sebanyak 31 koperasi pula dilabel sebagai koperasi dengan kluster sederhana iaitu berpendapatan di antara RM1 juta hingga RM5 juta setahun manakala sebanyak 103 koperasi lagi dikategorikan sebagai berkluster kecil iaitu berpendapatan di antara RM200,000 hingga RM1 juta setahun. 

Mahmud berkata, selebihnya iaitu 418 koperasi lagi yang majoritinya merupakan koperasi sekolah, disenaraikan sebagai koperasi mikro iaitu dengan nilai pendapatan tahunan kurang daripada RM200,000. 

Beliau juga berkata, sebanyak 30 buah koperasi di negeri itu menerima geran dengan jumlah keseluruhan hampir RM12 juta daripada SKM negeri sepanjang tahun lepas.

No comments:

Post a Comment