Sebanyak 2,259 daripada 2,699 permohonan untuk Dana Pinjaman Pembesaran Rumah yang ditawarkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Terengganu telah diluluskan sejak skim pinjaman itu diperkenalkan pada tahun 2005 hingga kini.
Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abdul Wahab berkata permohonan tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM78 Juta.
"Bagi permohonan yang telah diluluskan, pembinaan pembesaran rumah sedang dijalankan yang mana pihak Felda membantu mengeluarkan kontrak dan kontraktor dipilih sendiri oleh peneroka... bagi permohonan yang masih belum diluluskan, permohonan mereka masih dalam peringkat kelulusan ibu pejabat, walaubagaimanapun insya-Allah kita akan pastikan bakinya akan diluluskan pada tahun ini," katanya.
Permohonan yang telah diluluskan ini meliputi permohonan dari peneroka di seluruh negeri yang mana di Terengganu sahaja terdapat 20 tanah rancangan Felda," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Felda Bukit Bading di Hulu Terengganu, seemalam.
Beliau berkata pinjaman tanpa faedah itu dengan jumlah maksimum RM40,000 untuk satu keluarga peneroka ini akan dipertimbangkan kepada mereka yang layak bagi membina semula atau mengubah suai rumah di tanah rancangan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Helmi berkata sebanyak RM500,000 telah diluluskan oleh Felda untuk pembinaan bangunan perniagaan di Felda Bukit Bading tahun ini.
"Bangunan perniagaan sederet lima pintu tersebut yang akan dimulakan pembinannya tahun ini akan menjana ekonomi penduduk di tanah rancangan berkenaan," katanya.
Diharapkan kewujudan premis perniagaan ini akan dapat menjana ekonomi penduduk dalam Felda ini yang merupakan tanah rancangan Felda tertua di Terengganu dengan jumlah keluarga peneroka paling ramai iaitu 585 keluarga, katanya.
Mohd Helmi berkata pada tahun ini juga, pihaknya juga telah bersetuju untuk menubuhkan Koperasi Belia Felda Bukit Bading untuk memacu ekonomi belia Felda.
Koperasi ini akan bertindak sebagai satu tempat melatih belia dalam memajukan ekonomi mereka supaya dapat menjana pendapatan dan untuk memastikan golongan ini dapat diurus dengan baik, katanya.
Beliau berkata:"Diharapkan koperasi ini akan menjadi pusat melatih belia yang terbaik supaya dapat melahirkan generasi Felda yang terus cemerlang menggantikan generasi tua yang ada sekarang," katanya.
No comments:
Post a Comment