Sungai Pelong dekat Langkap di Setiu, bakal menjadi satu lagi destinasi pelancongan berkonsepkan akuakultur di Daerah Setiu berikutan kejayaan mewujudkan sebuah pusat santuari ikan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Abdul Khalil Abdul Karim berkata pusat santuari itu adalah hasil kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan itu dengan jabatan.
"Sebenarnya, jabatan telah banyak mengadakan program melepaskan puluhan ribu benih anak ikan dan udang di beberapa batang sungai di seluruh Terengganu sejak beberapa tahun lalu.
"Antaranya Sungai Loh dekat Hulu Dungun, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payung di Setiu serta Sungai Petang di Tasik Kenyir, namun ia memerlukan komitmen tinggi antara penduduk kampung dengan jabatan bagi memastikan kesemua benih ikan ini mampu membiak tanpa sebarang kegiatan yang boleh menjejaskannya," katanya semalam.
Usaha menjadikan beberapa sungai termasuk Sungai Pelong ini sebagai pusat santuari ikan sudah dimulakan sejak kira-kira tiga tahun lalu dan kini hasilnya pengunjung ke pusat santuari itu dapat bermandi-manda bersama ikan yang jinak, memberi makan serta merendam kaki untuk melakukan terapi.
Abdul Khalil berkata proses untuk menjadikan sesebuah sungai itu sebagai pusat santuari ikan agak sukar dan memerlukan kerjasama penduduk kampung untuk berperanan sebagai mata dan telinga agensi berkaitan.
"Ini kerana penduduk kampung perlu memastikan tiada sebarang aktiviti penangkapan ikan dilakukan di sungai itu untuk tempoh dua hingga tiga tahun agar ikan dapat membesar dengan cepat dalam habitatnya.
"Malah sebarang aktiviti pencemaran juga akan merencatkan usaha menjadikan sungai sebagai pusat santuari dan dalam hal ini, kita bertuah kerana penduduk dan JKKK di Sungai Pelong berjaya menjalankan tugas mereka dengan sangat baik," katanya.
Benih ikan yang dilepaskan di sungai itu termasuk lampam kerai, lampam sungai, jelawat merah dan talapia.
Abdul Khalil berkata, antara syarat untuk menjadikan sesebuah tempat itu sebagai pusat santuari, ia memerlukan persekitaran yang selamat dan sesuai bagi spesies ikan termasuk memastikan tiada ikan pemangsa di sungai berkenaan.
Berdasarkan analisis Jabatan Perikanan beliau berkata hanya 20 peratus daripada ribuan benih anak ikan yang dilepaskan dijangka dapat membesar, manakala bakinya akan mati akibat pelbagai faktor.
No comments:
Post a Comment