Monday, April 7, 2014

Semua Negeri Digesa Wujud Wi-Fi Untuk Kemudahan Rakyat - Jailani Johari


Semua kerajaan negeri perlu berusaha mewujudkan akses internet tanpa wayar di wilayah masing-masing untuk memudahkan orang ramai dan pelancong mengakses capaian internet Wi-Fi secara percuma di lokasi tumpuan.

Menyarankan demikian, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata kementeriannya sedia bekerjasama untuk tujuan itu bersama mana-mana kerajaan negeri.

Katanya sebagai contoh, kerajaan negeri Terengganu yang komited memberikan kemudahan 'Terengganu Open Wi-Fi' kepada orang ramai dan pelancong mengakses capaian internet dengan menyediakan kemudahan WiFi secara percuma di 600 lokasi strategik melibatkan peruntukan RM30 juta.


"Ia merupakan satu inisiatif yang bagus dari Terengganu kerana kadar penembusan jalur lebar kebangsaan perlu dipertingkatkan di mana ketika ini telah mencapai 67.1 peratus setelah pelbagai program dihasilkan di bawah Pelan Jalur Lebar Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Perintis Terengganu Open Wi-fi bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu, semalam.

Program Pelan Jalur Lebar Kebangsaan itu termasuk program Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia, Pusat Internet 1Malaysia, Pusat Jalur Lebar Komuniti Kecil, Perpustakaan Jalur Lebar, peluasan liputan selular dan program Komputer 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment