Thursday, April 10, 2014

Seri 1-1 dengan T-Team, Selangor Terlepas Pendahulu Carta Liga Super

Pemain T-Team, Muhamad Hazwan (kanan) menghalang pemain Selangor, Mohd Rizal Fahmi dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. Kuala Terengganu.
Hajat Selangor untuk merampas tangga teratas Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan ketiga tercorot, T-Team pada aksi tunggal yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Selepas mendahului menerusi jaringan A Thamil Arasu pada minit ke-14, skuad kendalian Mehmet Durakovic itu dikecewakan jaringan penyamaan penyerang import T-Team dari Indonesia, Patrich Wanggai ketika permainan berbaki 10 minit.

Keputusan itu mletakkan pasukan Selangor naik satu anak tangga ke kedudukan kedua liga dengan 21 mata, satu mata di belakang pendahulu, Pahang.

T-Team kekal di tangga ke-10 dengan 13 mata.

Pada perlawanan berkenaan, Selangor jelas menguasai permainan pada babak pertama dengan banyak melakukan serangan ke kubu skuad 'The Titans' sebaik sahaja pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa meniupkan wisel perlawanan.

Mereka berjaya berada di hadapan pada minit ke-15 menerusi penyerang, A. Thamil Arasu yang menanduk masuk sepakan penjuru daripada Mohd Azmi Muslim untuk menceriakan segelintir penyokong mereka yang hadir ke stadium.

Bersambung babak kedua, pasukan T-Team kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah mengubah corak permainan dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu Selangor untuk mencari gol penyamaan. Usaha mereka berhasil selepas penyerang import dari Indonesia, Patrich Wanggai melakukan tandukan kencang hasil sepakan percuma daripada Nelson Sam Martin pada minit ke-80 bagi menyamakan kedudukan. 

Mereka bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wanggai dilayangkan kad merah oleh Mohd Fairuzi pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas beliau dikatakan menumbuk kepala Arasu.

Keputusan itu kekal sehingga tiupan wisel perlawanan oleh Mohd Fairuzi untuk membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Perlawanan berkenaan yang sepatutnya diadakan Selasa depan, diadakan kelmarin berikutan Selangor akan beraksi dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Arema Indonesia pada 16 April ini di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia.

T-Team akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan menentang Pahang manakala Selangor akan melayan kunjungan Perak di Stadium Shah Alam dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment