Monday, April 14, 2014

Usahasama ATM, PDRM Berjaya Turunkan Indeks Jenayah


Rondaan bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS 8) membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini mampu memberi impak positif bagi menurunkan indeks jenayah.

Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kerjasama itu penting bagi bergerak sebagai satu pasukan dalam menjaga keamanan dan kese­lamatan awam.

Beliau memberitahu, buat masa ini, pihaknya masih menunggu arahan pihak atasan sebelum program seumpama itu dilaksanakan sepenuhnya di negeri ini termasuk jumlah anggota yang diperlukan.

Malah, jelas beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak PDRM untuk mengenal pasti lokaliti sesuai di serata negeri ini terutama di kawasan-kawasan tumpuan awam sebelum dilaksanakan sepenuhnya kelak.

"Buat masa ini masih di peringkat kajian dan kita dalam perancangan untuk laksanakan sepenuhnya usaha sama ini (ATM-PDRM), kita sedang tunggu perkembangan selanjutnya.

"Ada negeri te­lah pun mula laksanakan termasuk Kelantan manakala Terengganu agak lewat sedikit dise­babkan indeks jenayahnya tidak tinggi," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Hari Terbuka ATM/PDRM Peringkat Negeri Terengganu 2014 NBOS 8 di Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu, kelmarin yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Md. Jamil dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin.

Pada majlis itu, orang ramai turut berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan menarik termasuk demonstrasi membanteras jenayah ragut secara bersepadu membabitkan anggota ATM dan PDRM.

Dalam sidang akhbar sama, Hamzah berkata, hasil rondaan di bawah NBOS 8 yang masih di peringkat kajian itu telah berjaya membantu menurunkan kadar jenayah iaitu 4.8 peratus di negeri ini dan 11.6 peratus di daerah Kuala Terengganu

 Jelas beliau, pihaknya akan menentukan keperluan dari segi lokaliti yang sesuai berdasarkan kepadatan penduduk dan tumpuan ramai termasuk di Batu Buruk manakala pihak tentera pula bersedia membantu termasuk keperluan keanggotaan.

No comments:

Post a Comment