Wednesday, May 28, 2014

Minggu PKS Terengganu Beri Tumpuan Usahawan Wanita, Belia Dan Ekonomi Desa

Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada 24 hingga 27 Jun ini, akan memberi tumpuan kepada usahawan wanita, belia dan ekonomi desa.

Minggu PKS anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kementerian serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri, selain sektor swasta bagi membantu PKS di negara ini.

Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata usahawan perlu merebut peluang ini untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai program sokongan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, selain mengenali agensi-agensi yang menyediakan pelbagai bantuan ini secara lebih dekat.

Beliau berkata Terengganu mempunyai usahawan Bumiputera paling ramai berbanding negeri-negeri lain iaitu 22,514 syarikat PKS dengan 87.9 peratus daripadanya terdiri daripada enterpris mikro, manakala 10.3 peratus lagi adalah syarikat kecil

 "Daripada jumlah itu pula, 3.4 peratus adalah dalam sektor perkhidmatan, 4.7 peratus dalam sektor pembuatan, manakala hanya 2.9 peratus dalam sektor pertanian," katanya.

Minggu PKS 2014 peringkat negeri Terengganu itu akan dirasmikan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada 24 Jun dan 10,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang penganjuran minggu itu. Bertemakan 'Mula Berdikit, Azam Melangit',

Minggu PKS itu menyenaraikan pelbagai aktiviti menarik termasuk Hari Terbuka PKS, Pocket Talks, Fiesta Maklumat, Khidmat Nasihat Perniagaan, Demonstrasi Produk, Pameran, Promosi Dana Syariah dan Pasar Tani Mega.

Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi SME Corp. Terengganu di talian 09-6317870 atau emelkan kepada muhamad@smecorp.gov.my.

No comments:

Post a Comment